Peluang Ayish gilap bakat
IMPIAN menjadi kenyataan.
Itu ungkapan paling sesuai bagi menggambarkan situasi pemain cilik kelahiran Pulau Pinang, Farish Zakry Abd Razak apabila terpilih menyertai Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang.
Farish Zakry yang mesra disapa Ayish berkata, segala penat lelahnya selama ini berbaloi selepas dia diterima masuk ke akademi tersebut.
Menjadikan penyerang muda kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin sebagai salah seorang idola, Farish Zakry berazam mengikut jejak langkah pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu yang kini beraksi bersama kelab Belgium, KV Kortrijk.
“Bukan hanya bercita-cita mahu menyarung jersi kebangsaan tetapi saya mengimpikan bermain di liga luar negara seperti Luqman Hakim. Dia merupakan antara contoh pemain muda terbaik Malaysia ketika ini.
“Tawaran yang diterima daripada AMD ini merupakan peluang terbaik untuk saya mengasah lagi bakat. Ini satu permulaan untuk saya melangkah lebih jauh.
“Terima kasih kepada ibu bapa kerana banyak memberikan dorongan, jurulatih yang selama ini tidak jemu memberikan tunjuk ajar serta guru-guru yang memberikan ilmu dalam bidang akademik,” katanya yang bakal mencecah usia 13 tahun pada 13 Januari ini.
Farish Zakry mula mengasah bakat bersama Kelab Pak Syed (PSFC) sejak 2015. Dia turut menyertai Akademi Tunas Seberang Perai Tengah selain berlatih dengan kelab Sportizza Football Academy dan The Egle Pauh Jaya.
Ibu kepada Farish Zakry, Ida Rafishah Abu Talib pula melahirkan rasa syukur selepas anaknya terpilih menyertai akademi tersebut yang dianggap platform terbaik untuk mengasah bakat.
“Sejak umur enam tahun lagi Ayish mengimpikan berlatih di AMD, sekarang impiannya sudah tercapai. Dia juga pernah menyatakan hasrat untuk menjadi pemain profesional suatu hari nanti.
“Sebagai seorang ibu, saya hanya mampu memberikan sokongan kepadanya. Saya hanya mampu mendoakan Ayish mencapai cita-citanya menjadi pemain bola sepak profesional dan beraksi di luar negara,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!