UMNO dan lain-lain, ingatlah rakyat sedang perhati kamu...
SEHARI demi sehari episod politik yang sedang menjarah negara kita kini seperti tiada jalan penyelesaian dan kesudahannya. Rakyat kebanyakan seperti kita semua sekadar menjadi penonton. Penonton yang tidak diundang.
Sebenarnya, kita sendiri pun enggan menonton drama bersiri ni. Tak percaya tanyalah Mat Teh O, Pak Non Kopi dan Tok Ya Napiah di kedai-kedai kopi tepi jalan dan bendang tu.
Bukan sahaja mereka muak dan meluat, malah naik menyampah dengan apa yang sedang berlaku sekarang.
Namun mereka seperti mana kita semua terjebak. Terjebak kerana ia berlaku di depan mata. Mahu tidak mahu terpaksa melihat. Dan melihat dalam keadaan yang menyakitkan hati pula tu.
Situasinya samalah seperti terpaksa melihat kemalangan di depan mata. Bukan kerana nak lihat sangat tetapi terpaksa melihat juga sebab dah berlaku di depan mata.
Inilah senario yang sedang berada di depan mata kita sekarang. Dan yang lebih parah ialah kita tidak terdaya berbuat apa-apa. Tiada kuasa membantah, campur tangan mahupun membuat keputusan kerana masa kita belum lagi tiba.
Di atas kertas, ia hanya berlaku lima tahun sekali. Yang terakhir ialah pada Mei 2018. Yang akan datang entah bila. Sekali lagi, bukan kita yang menentukan ini semua.
Yang menentukannya ialah pelakon-pelakon utama inilah (baca: ahli-ahli politik). Nak lebih khusus, ahli-ahli Dewan Rakyat yang anggotanya termasuklah Perdana Menteri.
Sekali lagi, buat masa ini, kita hanya sekadar penonton. Namun awas, rakyat jelata sedang memerhati dengan penuh iltizam walaupun dah meluat. Jangan sampai iltizam itu bertukar menjadi dendam. Itu tidak bagus dan tidak baik untuk negara.
Masuk ke pusat mengundi dengan perasaan yang membara akan menghasilkan keputusan yang tidak rasional untuk masa depan negara. Tetapi kita sedang bercakap tentang manusia dan perasaan.
Perasaan manusia berubah-ubah mengikut suasana dan keadaan. Samalah macam pilihan raya kecil. Sebab itulah bila UMNO dan Barisan Nasional (BN) ingat yang mereka telah kembali popular bila menang satu demi satu pilihan raya kecil, mereka nakkan pilihan raya umum sekarang.
Sejak seminggu yang lalu inilah yang digunakan sebagai alasan untuk mendesak pilihan raya umum diadakan. Persidangan Perwakilan Bahagian dijadikan pentas menyuarakan desakan.
Kita dengar macam-macam alasan digunakan termasuklah yang dilontarkan oleh Setiausaha Agung UMNO/BN, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menjadi bahan jenaka di kedai-kedai kopi (tak pasti sama ada orang UMNO suka atau tidak).
Namun kita semua tahu apakah sebenarnya di sebalik semua ini. Tak perlulah diperincikan di sini.
Barang diingat, perasaan yang dipendam bila meletup, jawapannya ialah begini; Katapawwwwww! Dussssssssssssssh! Hancur!
Orang politik − terutama pemain-pemain besar − UMNO, Bersatu, Pas, PKR, DAP, Amanah, Warisan dan lain-lain, yang tak terdaya nak disebut di sini kerana terlalu banyak, ingat.
Rakyat sedang memerhati tingkah laku kamu. Jangan ingat anda kebal.
Perasaan rakyat sedang membara sekarang ni. Jangan sampai ia meletup. Bila dah meletup sesen pun tak berguna lagi.
Nota Kaki: Kepada UMNO, begini sajalah. Kalau dah tak suka, dah meluat, dah tak ada lagi kasih sayang, cerailah saja Perikatan Nasional tu. Jangan dibiar gantung tak bertali. Di depan cakap lain, di belakang buat lain. Orang tak suka!
* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!