Mangsa banjir di empat negeri menurun, Johor meningkat
KUALA LUMPUR - Situasi banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak, semakin pulih setakat jam 8 pagi ini dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) dilaporkan menurun.
Bagaimanapun, Johor masih mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir akibat hujan lebat berterusan sejak malam tadi.
Di Kelantan, jumlah mangsa banjir di 16 PPS berkurangan kepada 1,702 berbanding 2,118 petang Ahad.
Berdasarkan maklumat dari aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasir Mas kekal merekodkan jumlah penduduk yang terjejas teruk dengan 1,206 mangsa masih ditempatkan di 10 PPS diikuti Kuala Krai dengan 496 mangsa membabitkan enam PPS.
Di Terengganu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman memaklumkan jumlah mangsa banjir terus berkurangan kepada 3,956 berbanding 6,981 orang, jam 3 petang Ahad.
"Kesemua mereka ditempatkan di 17 PPS dan terdapat 3,564 mangsa di Kemaman, manakala di Dungun pula jumlah mangsa ialah 392 orang," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Di Pahang, mangsa banjir berkurangan kepada 23,944 yang ditempatkan di 242 PPS.
Temerloh kekal menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 11,210 mangsa diikuti Maran (3,143 orang), Pekan (2,652 orang), Lipis (2,028 orang) Bera (1,583 orang), Raub (1,466 orang) dan Jerantut (1,098 orang).
Di Perak pula, hanya satu PPS masih beroperasi iaitu di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan yang menempatkan 44 mangsa banjir di daerah Hilir Perak.
Sementara itu, di Johor, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 3,145 orang di lima daerah setakat jam 8 pagi ini.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan berkata, Kota Tinggi mencatatkan mangsa tertinggi sebanyak 1,848 orang, diikuti Johor Bahru (1,057 orang), Kulai dan Segamat masing-masing 94 orang manakala Mersing 52 orang.
"Kesemua mereka ditempatkan di 38 PPS," katanya.
Dalam pada itu, lapan laluan di Kota Tinggi turut ditutup kerana dinaiki air melibatkan Jalan Felda Semenchu (Simpang Semenchu) (FT1406) yang ditutup untuk semua kenderaan sementara Jalan Kota Tinggi-Mersing (LGM) (FT003), Jalan Kota Tinggi-Kluang (Batu 25)(FT091) dan Kampung Lukut Cina-Kampung Batu 4 (Taman Aman) (J175) ditutup untuk semua kenderaan ringan.
Turut ditutup untuk semua kenderaan ringan ialah Jalan Tai Hong (Taman Scientex) (J053), Jalan Tai Hong (Orkid) (J053), Jalan Sungai Telor (J090) dan Mawai Lama (J172). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!