Kerajaan adakan rundingan meja bersama pengimport, pengedar daging
SHAH ALAM - Kerajaan mengadakan rundingan meja bulat bersama pengimport dan pengedar daging serta produk daging pada Isnin sebagai salah satu usaha menyelesaikan isu kartel daging import haram di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kerajaan serius mengenai isu halal dan integriti dalam pengurusan halal.
"Dengan sokongan semua pihak, saya yakin usaha ini bakal menatijahkan penyelesaian yang terbaik untuk Malaysia, juga kepada rakyat Malaysia khususnya umat Islam," katanya menerusi ciapan di akaun Twitter rasmi beliau.
Menerusi ciapan itu, Zulkifli memaklumkan beliau juga menyampaikan ucaptama dalam rundingan meja bulat berkenaan dan turut memuatnaik sekeping foto.
Menurutnya, rundingan itu turut dihadiri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Tambah beliau, terdahulu, Mesyuarat Penyelarasan Pelan Tindakan Menangani Isu Pemalsuan Logo Halal di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) baru-baru ini telah bersetuju untuk memperhalusi beberapa cadangan antaranya memperketat prosedur pengimportan daging halal, pengangkutan dan pergudangan.
Pada 2 Disember lalu, Sinar Harian membongkar taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.
Kegiatan itu dipercayai dijalankan sejak beberapa tahun lalu dengan menjadikan gudang tersebut sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula sebelum dijual di pasaran tempatan sebagai daging halal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!