Pas kekal bersama PN
ALOR SETAR - Pas kekal dengan pendirian untuk terus mengukuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama-sama Bersatu sambil memperkasa kerjasama Muafakat Nasional dengan UMNO.
Menyifatkan kerajaan PN masih kukuh, Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kemelut UMNO-Bersatu hanyalah isu dalaman sebuah keluarga yang boleh diselesaikan.
“UMNO parti Melayu, Bersatu parti Melayu dan Pas juga parti Melayu, kita utamakan perpaduan Melayu Islam dahulu dan dalam masa sama menyedari masyarakat majmuk mesti bersatu bersama dengan kita.
“Jadi urusan UMNO, Bersatu dan Pas adalah urusan dalam rumah kita, kadang-kadang orang dengar kita bising-bising itu (sebenarnya) kita nak alih perabot sahaja, insya-Allah akan selesai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bersama Peladang Kawasan Muda di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata ketika ini tidak ada sebuah parti yang mampu membentuk kerjasama lain bagi menggantikan PN.
“Semua parti politik tidak boleh tubuh kerajaan, tidak ada parti yang mampu jadi kerajaan, UMNO tidak boleh terima DAP, DAP tidak boleh terima UMNO.
“(Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air) Tun Dr Mahathir (Mohamad) tidak boleh terima (Presiden PKR, Datuk Seri) Anwar Ibrahim, Anwar tidak boleh terima Tun Dr Mahathir, maka PN kukuh kerana parti lain tidak mampu tubuh kerajaan,” katanya.
Mengenai pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Abdul Hadi berkata, perbincangan bersama UMNO dan Bersatu masih belum muktamad walaupun ada pihak mendakwa sebaliknya.
Selagi tarikh PRU15 belum ditentukan, maka perbincangan mengenai pembahagian kerusi akan terus dilakukan bagi disesuaikan mengikut keadaan semasa, katanya, menambah PRU tidak sesuai diadakan dalam masa terdekat berikutan penularan Covid-19 selain bencana banjir yang melanda beberapa negeri sekarang.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!