Pelajar sekolah merempit dicekup polis
KUALA LUMPUR - Seorang pelajar sekolah antara lima yang dicekup polis kerana menunggang motosikal dengan aksi berbahaya di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) pada awal pagi Isnin.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifly Yahya berkata, Ops Samseng Jalanan oleh sepasukan anggota Risikan dan Operasi JSPT Kuala Lumpur dilakukan kira-kira jam 1 pagi.
Menurutnya, operasi itu mendapati penunggang berusia 16 hingga 23 tahun terbabit telah melakukan aksi 'wheelie', 'superman', 'zig-zag' dan menundukkan kepala.
"Semakan mendapati salah seorang penunggang terbabit masih bersekolah dan berusia 16 tahun manakala yang lain ada yang tidak bekerja selain bekerja sendiri.
"Selain itu, antara kesalahan lain yang dikesan ke atas semua tangkapan adalah tidak mempunyai lesen memandu dan motosikal yang tidak mempunyai cermin sisi serta lampu belakang," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Mengulas lanjut, Zulkifly berkata, kesemua motosikal itu didapati sudah diubah suai dengan menggunakan ekzos yang bising, tayar bersaiz kecil serta nombor pendaftaran yang kecil.
Katanya, remaja berkenaan juga mengaku tindakan mereka mengubah suai motosikal kerana mahu meningkatkan kelajuan.
"Kesemua mereka telah dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!