'Bot laju tidak ikut SOP'

Bot laju yang digunakan untuk menggantikan feri ikonik Pulau Pinang. Gambar kecil: Mohideen
Bot laju yang digunakan untuk menggantikan feri ikonik Pulau Pinang. Gambar kecil: Mohideen
A
A
A

GEORGETOWN - Penggunaan bot laju bagi menggantikan feri ikonik Pulau Pinang yang bermula 1 Januari lalu dilihat sebagai 'bom jangka' kepada gelombang penularan Covid-19 yang ketiga kerana didakwa tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, pelaksanaan bot laju tersebut dibuat tanpa mempertimbangkan faktor penting antaranya penjarakan fizikal.

Menurutnya, penumpang harus beratur dalam keadaan berdekatan antara satu sama lain selain tiada penjarakan fizikal ketika berada dalam 'shuttle bus' yang disediakan.

"Di dalam bot laju, penumpang duduk sebelah menyebelah dan berdekatan antara satu sama lain dalam ruang yang tertutup serta berhawa dingin. Dalam persekitaran sebegini, perebakan penyakit bawaan udara akan tinggi berbanding feri ikonik yang terbuka dengan pengudaraan yang baik.

ARTIKEL BERKAITAN: Pulau Pinang sedia ambil alih feri ikonik jika SPPP hadiah

Pulau Pinang masih harap feri ikonik dikekalkan

Hanya PH mampu selamatkan feri Pulau Pinang: Guan Eng

"Selain itu, feri ikonik mengamalkan penjarakan fizikal apabila menandakan kawasan yang tidak boleh diduduki penumpang sebaliknya langkah penting ini tidak dilaksanakan di dalam bot laju," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, penumpang perlu menunggu di dalam 'shuttle bus' dalam tempoh yang lama kerana ia bergerak mengikut jadual perjalanan yang ditetapkan.

Katanya, bot laju juga menyulitkan bagi penumpang yang berbadan besar kerana semua tempat duduk hanya berukuran 40 sentimeter lebar.

"Selain itu, penumpang juga perlu berjalan jauh untuk sampai ke tempat masuk atau keluar dari terminal selepas turun dari bot laju.

"Selain itu, kedua-dua terminal, Jeti Swettenham dan Pengkalan Sultan Abdul Halim tidak mematuhi Kod Amalan Standard Malaysia bagi Akses Orang Kurang Upaya (MS) seperti yang ditetapkan ke atas semua stesen pengangkutan awam," katanya.

Beliau turut mempertikaikan mengapa Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) tidak menggunakan feri ikonik sepanjang tempoh interim sehingga Jun 2022 berbanding penggunaan bot laju.

"Amat dikesali apabila isu feri ditangani secara melulu tanpa memikirkan kesannya terhadap pengguna feri, terutama membabitkan soal keselamatan mereka dalam situasi Covid-19 semasa yang kian membimbangkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!