Tiada kompromi PKP kali ini: KPN

ABDUL HAMID BADOR
ABDUL HAMID BADOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang melanggar syarat prosedur operasi standard (SOP) semasa pelaksanaan kali kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula tengah malam Rabu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk kembali melaksanakan penugasan penguatkuasaan di seluruh negara termasuk pelaksanaan sekatan jalan raya.

Menurutnya, berbanding semasa pelaksanaan PKP pada 18 Mac tahun lalu, PKP kali ini akan memperlihatkan ketegasan pihak polis.

"Ketegasan kita dalam melaksanakan tindakan akan ditingkatkan.

"Kita tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang didapati melanggar syarat-syarat yang ditetapkan kerana masa untuk mendidik dan menasihat sudah habis," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Abdul Hamid berkata, tempoh masa yang diberikan sebelum ini dirasakan sudah cukup untuk rakyat mematuhi dan memahami SOP yang ditetapkan.

Jelasnya, penugasan kali ini juga akan diperkemaskan dengan mengambil kira pengalaman termasuk meneliti semula aspek kelemahan dan kebaikan.

"Saya jamin, kita sentiasa bersedia untuk menguatkuasakan segala peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abdul Hamid turut mengingatkan kepada masyarakat untuk sentiasa menjaga keselamatan diri, keluarga dan orang yang berada di sekeliling bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.

Katanya, PDRM dari masa ke masa akan mengeluarkan sebarang perkembangan mengenai arahan dan pelaksanaan penguatkuasaan terhadap orang ramai sepanjang tempoh PKP.

ARTIKEL BERKAITAN PKP 2.0 libatkan enam negeri mulai 13 Januari

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!