Contohi industri pertahanan UAE
BUAT kali pertama, sebuah firma Asia Barat berjaya menduduki senarai 25 firma pertahanan teratas yang menguasai pasaran senjata global bagi tahun 2019.
Firma berkenaan iaitu EDGE dari Emiriyiah Arab Bersatu (UAE) dibentuk melalui penggabungan 25 syarikat pertahanan.
Menurut laporan Institut Penyelidikan Keamanan Kebangsaan Stockholm (SIPRI), EDGE mencatatkan nilai perdagangan senjata kira-kira AS$5 bilion dan merupakan angka yang sangat baik bagi firma baharu.
Firma Amerika Syarikat (AS) dan China masih menguasai pasaran senjata global dengan industri senjata AS merangkumi 61 peratus daripada keseluruhan jualan, manakala China cuma 15.7 peratus.
Berada pada kedudukan ke-22, EDGE adalah contoh terbaik menggambarkan bagaimana permin-taan tinggi untuk produk ketenteraan tanpa mahu bergantung kepada negara asing telah memacu pertumbuhan firma senjata di rantau berkenaan.
Firma tersebut yang ditubuhkan pada November 2019 menawarkan lima teras utama iaitu sistem dan platform, persenjataan dan peluru berpandu, pertahanan siber, perisikan dan peperangan elektronik dan operasi sokongan.
Salah satu subsidiari firma berkenaan, NIMR misalnya, merupakan pengeluar kenderaan tentera termasuk jenis berperisai dengan pengalaman selama 20 tahun dan diakui sebagai antara yang terbaik dalam kelasnya.
Sebagai antara negara yang mewah berbelanja dalam soal ketenteraan di Asia Barat, maka langkah negara itu menubuhkan firma pertahanan sendiri sangat menarik, apatah lagi untuk memahat nama menjadi negara pengeluar.
Tempoh masa yang lama bagi mendapatkan sesuatu perolehan terutamanya yang bersifat sensitif daripada negara pengeluar dipercayai menjadi faktor UAE mengikuti langkah negara serantau lain membangunkan teknologi pertahanan sendiri.
Antara tahun 2016 hingga 2020, perbelanjaan pertahanan UAE adalah kira-kira AS$26.6 bilion setahun dan jumlah itu dijangka meningkat pada tahun mendatang sehingga AS$37 bilion.
Seperti kebanyakan negara Teluk lain, AS telah menjual pelbagai kelengkapan perang kepada UAE dengan nilai jualan berbilion dolar termasuk latihan dan lain-lain bantuan.
Negara itu juga bakal menjadi negara Arab pertama yang mengoperasi sistem dron paling canggih keluaran Lockheed Martin, MQ-9 Reapers dengan pembelian 18 unit, selain pesawat tempur halimunan F-35 menerusi perolehan sebanyak AS$23 bilion.
Apa yang dibuktikan oleh EDGE sebenarnya bukanlah perkara mustahil kerana konteks perdagangan pertaha-nan adalah sama sahaja prinsipnya dengan perniagaan lain.
Produk atau sistem pertahanan yang ditawarkan haruslah mempunyai nilai kegunaan dan menepati kehendak pengguna dengan kos kompetatif.
Malaysia pada tahun 2011 misalnya, telah menggiatkan usaha bagi cadangan penubuhan Majlis Industri Pertahanan ASEAN untuk memberi fokus kepada perkembangan industri pertahanan serantau.
Dengan perbelanjaan pertahanan kira-kira AS$25 juta setahun, kolaboratif itu bukan sahaja mengurangkan penggantungan asing tetapi membangunkan ekonomi serantau.
Kesepakatan itu telah dimeterai dalam deklarasi bersama menteri-menteri pertahanan di Jakarta pada Mei 2011 dengan konsep kerjasama yang disusun oleh Malaysia sehingga tahun 2030.
Bagi menjayakan kerjasama tersebut, Malaysia ketika itu giat untuk membangunkan program pembinaan kenderaan perisai mobiliti tinggi (HMAV) dengan Thailand dan Indonesia.
Pada tahun 2015, syarikat tempatan, Deftech menjalinkan kerjasama dengan Chaiseri Metal and Rubber Co Ltd dari Thailand bagi membina 20 buah kenderaan HMAV Lipan Bara untuk Angkatan Tentera Malaysia bernilai RM140.98 juta.
Selepas itu, tiada lagi kedengaran sebarang kerjasama antara negara serantau dalam ekonomi pertahanan, apatah lagi kolaboratif yang berimpak tinggi.
* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!