Setahun bersama Covid-19

No Image Caption
A
A
A

TAHUN baharu 2021 Masihi merupakan permulaan fasa tempoh masa 12 bulan yang akan datang.

Istilah Masihi merujuk kepada apa yang dipercayai secara kontroversial sebagai tahun kelahiran Nabi Isā bin Maryam al-Masīḥ ‘alaihissalām, menurut tradisi takwim Gregorius dalam tradisi Kristian.

Kini semakin ramai penulis yang menggunakan istilah Common Era (CE) atau Era Bersama sebagai ganti kepada istilah Anno Domini (AD), satu istilah Latin Zaman Pertengahan yang bermakna ‘In the year of our Lord’ dalam bahasa Inggeris.

Maknanya, ‘Pada tahun Tuan kami’ dalam bahasa Melayu. Lord di sini ialah Jesus Christ.

Frasa Sebelum Masihi atau SM adalah sama dengan Before Christ atau BC dalam takwim Gregorius.

Dalam takwim Era Bersama, Before Common Era atau BCE menggantikan BC. Apabila kita menggunakan kedua-dua singkatan frasa CE dan BCE, kita mudah berasakan semangat kebersamaan dengan seluruh jagat manusia.

Tahun 2020 yang baru berlalu telah mengendong satu sejarah yang sangat mencabar sejak penyakit influenza (flu) Sepanyol mencengkam dunia pada hujung dasawarsa Februari 1918 hingga April 1920.

Dianggarkan sekitar 500 juta manusia telah menghidap flu yang telah membunuh sekitar 25 hingga 50 juta manusia itu.

Artikel Berkaitan:

Walaupun flu itu tidak bermula di negara berkecuali Sepanyol (semasa Perang Dunia Pertama), negara itulah yang pertama kali melaporkan tentang pandemik tersebut.

Sewaktu wabak sekurun yang lepas itu melanda dunia, Semenanjung Tanah Melayu atau British Malaya juga terkesan.

Setelah setahun, virus Covid-19 muncul pada 5 Januari 2020 jam 22:38 GMT, seramai 86,728,323 manusia telah menghidap penyakit yang telah membunuh seramai 1,873,855 jiwa itu.

Di beberapa buah negara di dunia, suntikan vaksin telah dimulakan. Di negara Malaysia, penggunaan vaksin akan dimulakan sebaik sahaja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memastikan keselamatannya tidak berapa lama lagi.

Fatwa tentang keharusan penggunaannya juga boleh didapati daripada autoriti agama Islam di Malaysia.

Usaha psikospiritual merupakan benteng kecekalan jiwa dan kekuatan kerohanian yang diperlukan oleh diri dan masyarakat.

Kita tidak alpa dengan bantuan ALLAH SWT Penyembuh Agung serta penentu takdir dalam hayat insan dan alam ciptaan-Nya. Pengendalian wabak Covid-19 memerlukan penglibatan pelbagai faktor, daripada akhlak yang tinggi hinggalah pencarian ilmu demi keredaan Ilahi.

Kesihatan psikospiritual tidak terpisah daripada fungsi biososial atau ekososial. Kita tidak boleh mendakwa ranah atau domain psikospiritual kita sihat jika kita tidak menjaga alam sekitar dan tidak bersifat amanah hingga merosakkan diri serta masyarakat.

Kita tidak boleh berkata bahawa kita percaya kepada alam ghaib jika pertuturan kita sarat dengan dusta kerana lidah kita akan menjadi saksi pada Hari Pengadilan.

Jika kerahmatan mangkir dalam diri, kita tidak dapat berlaku adil terhadap insan dan makhluk Tuhan. Maka, kita akan bersifat sombong dan percaya bahawa diri lebih baik daripada orang lain hinggalah memusuhi mereka yang tidak bersetuju dengan kita.

Hikmah adalah bersama mereka yang mengetahui cara untuk melayari arus cabaran hayat dalam dunia yang terbahagi antara penyokong vaksin dengan penentang vaksin, antara mereka yang memakai pelitup muka dengan mereka yang enggan mematuhi peraturan kesihatan.

Sekali lagi Tuhan Maha Esa mengajar insan supaya bersifat tawaduk dan tidak sombong. Hanya Dia sahajalah Yang Maha Besar dan berhak mempunyai sifat angkuh.

* Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penulis dan aktivis masyarakat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!