Agong perkenan isytihar darurat sehingga 1 Ogos

Al-Sultan Abdullah
Al-Sultan Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perkenan supaya Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan atau satu tarikh lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

Perkara tersebut dimaklumkan Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Ahmad Fadhil, Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi membentuk satu jawatankuasa bebas yang akan dianggotai ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan dan yang berkait.

“Jawatankuasa bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal,” katanya dalam kenyataan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengumuman Darurat jam 11 pagi ini

Ahmad Fadhil memaklumkan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara pada Isnin pada jam 5.30 petang Isnin selama 45 minit bagi menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, Proklamasi Darurat dicadang sebagai langkah proaktif untuk membendung dan melandaikan kes positif Covid-19 harian yang mencecah empat angka secara berterusan sejak Disember lalu.

“Setelah memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Haji Affendi Buang; Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani bin Salleh, maka Al-Sultan Abdullah berpandangan bahawa penularan wabak Covid-19 di negara ini berada di tahap yang amat kritikal dan adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

“Perlu dimaklumkan bahawa perkenan ini juga telah mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-raja Melayu,” ujarnya.

Dalam kenyataan sama, Ahmad Fadhil berkata, perkenan itu turut mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara.

Tambah beliau, ia juga berdasarkan statistik semasa Covid-19 khususnya kekangan kemudahan logistik mengikut negeri yang telah dipersembahkan semasa sesi taklimat tersebut.

“Menurut statistik, 15 hospital Covid-19 mencatatkan kadar penggunaan katil Covud-19 bukan unit rawatan rapi (ICU) melebihi 70 peratus.

“Di Lembah Klang, penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Perubatan Universiti

Malaya (PPUM) telah mencapai 100 peratus, manakala di Hospital Sungai Buloh 83 peratus.

“Kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak pula melebihi 70 peratus,” katanya.

Mengulas lanjut jelas beliau, Seri Paduka Baginda amat prihatin terhadap keselamatan diri rakyat jelata khususnya di beberapa negeri ketika ini masih mengharungi bencana banjir.

Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat supaya bertenang, tabah dan cekal menghadapi pelaksanaan darurat itu dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi keselamatan dan kepentingan bersama.

“Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat jelata untuk bersama berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan semua perintah yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan semasa pelaksanaan darurat dan PKP ini.

“Seri Paduka menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat jitu dan kerjasama rakyat jelata seperti yang telah dipamerkan semasa pelaksanaan PKP pada tahun lalu, kita mampu sekali lagi membendung penularan wabak Covid-19 dengan berkesan,” katanya.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar vaksin Covid-19 yang bakal diterima kelak akan melandaikan keluk pandemik, sekali gus memutuskan transmisi Covid-19 di Malaysia.

Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah menzahirkan setinggi penghargaan kepada wira dan wirawati petugas barisan hadapan yang bersabung nyawa serta bertungkus-lumus tanpa mengira penat lelah serta masa dalam memikul tanggungjawab memerangi wabak Covid-19.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!