Kaji semula strategi jangka panjang tangani Covid-19: Anwar
SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan perlu mengkaji dan memikirkan semula strategi jangka panjang yang digunakan bagi membendung penularan Covid-19.
Beliau berkata, tindakan tersebut penting terutama dalam keadaan sistem kesihatan negara yang kritikal.
“Pengujian besar-besaran (mass testing/pooled testing) dan pengesanan kontak (contact tracing) yang lebih berkesan dari aplikasi MySejahtera,” katanya ketika mengulas mengenai pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi hantaran di Facebooknya pada Isnin.
Ahli Parlimen Port Dickson berkata, kerajaan perlu bersikap telus berhubung perkongsian data dalam usaha membantu pelbagai pihak untuk lebih mengetahui berkenaan kawasan 'hotspot' sebenar terutama yang melibatkan pekerja asing.
Jelasnya, walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sedang mengkaji pelaksanaan kaedah ‘pooled testing’, namun kementerian itu masih belum mengeluarkan panduan dan tatacara berkaitan perkara tersebut.
“Negara lain telah membuktikan kaedah ini lebih berkesan daripada hanya mengawal pergerakan,” katanya.
Jelasnya, sekarang masa yang paling tepat untuk kerajaan menonjolkan kepimpinan yang bertanggungjawab dan sedar daripada berkhayal supaya keadaan tidak semakin memburuk.
“Saya menggesa kerajaan mengawal ketat dan tegas melalui Prosedur Operasi Standard (SOP) tanpa cenderung kepada mana-mana pihak, tanpa mengira pangkat, jawatan mahupun kecenderungan politik.
“Pilihan raya negeri Sabah telah membuktikan kepada kita semua bahawa virus ini tidak mengira sesiapa saja.
“Rakyat amat berhak dan memerlukan kepimpinan yang lebih baik dan tegas saat ini,” katanya.
Pada Isnin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di enam negeri iaitu, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah yang akan berkuat kuasa 13 Januari ini.
PKPB turut dilaksanakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan manakala Perlis dan Sarawak pula akan dikenakan PKPP bagi tempoh yang sama.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, tindakan kerajaan yang tidak memberikan sebarang respons berkaitan strategi dan langkah diambil bagi membendung penularan wabak Covid-19 menyebabkan kegelisahan dalam kalangan rakyat.
Jelasnya, rakyat yang terdiri daripada pekerja dan majikan sekali lagi tidak diberikan masa yang mencukupi bagi membuat persiapan untuk PKP disebabkan dengan tiadanya penjelasan lanjut daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam pengumuman itu.
Beliau bagaimanapun berkata, langkah ketat yang dilakukan oleh kerajaan itu sangat diperlukan bagi mengurangkan beban petugas barisan hadapan dan sistem kesihatan negara yang sedang tenat.
Pada masa sama, beliau berkata, situasi semasa beberapa negeri yang dibebani dengan masalah banjir juga perlu dipantau bagi mencegah kluster baharu.
Selain itu, Anwar meminta kerajaan segera mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 juta bagi dua minggu seterusnya merangkumi bantuan lain seperti subsidi upah dan pertolongan untuk perniagaan atau perusahaan yang terjejas.
“Malangnya, pengumuman terbaru ini akan terus memberi kesan sektor perniagaan dan aktiviti ekonomi yang masih belum mengubah beberapa PKP sebelum ini sejak bulan Mac tahun lalu.
“Saya mendesak kerajaan untuk lebih telus terkait realiti kewangan dan ekonomi negara dan bagaimana dana dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
“Banyak perniagaan, terutamanya perniagaan kecil dan sederhana (PKS) masih belum menerima subsidi upah dan mungkin tidak lagi tertampung dengan kesan pandemik. Langkah terkini hanya menjadi titik kritikal pada perniagaan yang di ambang penutupan,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan juga mesti mengarahkan semua bank untuk segera melaksanakan kembali moratorium pinjaman sehingga diberitahu kelak dan langkah serta pengumuman tersebut mestilah dibuat segera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!