Pemangku Setiausaha Dalam Negeri AS letak jawatan

Chad Wolf. - Foto AFP
Chad Wolf. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Pemangku Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Chad Wolf mengumumkan beliau meletakkan jawatan pada Isnin ketika kebimbangan semakin meningkat lebih banyak keganasan akan berlaku semasa majlis mengangkat sumpah jawatan Joe Biden sebagai Presiden AS pada minggu depan.

Wolf mengetuai hal ehwal keselamatan yang mengendalikan kawalan keselamatan pada majlis mengangkat sumpah itu pada 20 Januari ini.

Peletakan jawatannya berkuat kuasa pada tengah malam Isnin lalu.

Pengumuman itu menjadikan beliau individu ketiga yang bertindak meletakkan jawatan daripada Kabinet Presiden AS, Donald Trump selepas kejadian rusuhan di bangunan Capitol, Washington D.C pada Rabu lalu.

Wolf yang merupakan sekutu rapat Trump mengkritik insiden rusuhan tersebut dengan menganggapnya sebagai seseuatu yang tragik dan mengecewakan.

"Ketika saya secara konsisten mengutuk keganasan politik, terutamanya keganasan ke atas penguat kuasa undang-undang, kita kini melihat sebahagian penyokong Presiden menggunakan keganasan politik sebagai cara untuk mencapai matlamat politik," katanya.

Peletakan jawatan Wolf berlaku sehari selepas Trump dijadualkan melawat sempadan Mexico dengan AS dekat Alamo, Texas untuk memeriksa dinding sempadan yang sebelum ini menjadi salah satu janji kempennya.

Pada kebiasaannya, Wolf akan mengiringi Presiden jika lawatan seumpama itu diadakan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, pada 5 Januari lalu, Wolf mengeluarkan kenyataan tentang pembinaan dinding sempadan sejauh 724 kilometer yang dibina atas arahan Trump.

"Presiden Trump menduduki pejabat Presiden dengan janji untuk membina dinding (sempadan) dan menjamin keselamatan sempadan kita, satu janji yang ditunaikannya," kata Wolf sebelum ini. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!