Lelaki maut kereta elak bangkai babi bertembung lori
Dalam kejadian jam 7.40 pagi itu, Jamaludin Abdullah, 29, beralamat dari Malim Nawar meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, ketika kejadian mangsa memandu sendirian dalam perjalanan dari arah Tanjung Tualang menghala ke Kampung Gajah.
Menurutnya, tiba di tempat kejadian dipercayai terdapat bangkai babi di tengah jalan menyebabkan mangsa mengelak ke kanan jalan dan masuk ke laluan bertentangan.
"Ketika itu terdapat sebuah lori di laluan berkenaan mengakibatkan perlanggaran berlaku.
"Mangsa yang parah di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 26 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Beliau berkata, kereta jenis Proton Wira dinaiki mangsa remuk teruk di bahagian sebelah pemandu.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat dan siasatan kes diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!