Cuaca di Semenanjung bertambah baik
KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan keadaan cuaca di Semenanjung Malaysia semakin bertambah baik.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sehubungan itu, kemungkinan untuk berlaku banjir monsun lagi sudah berakhir.
“Bagaimanapun, banjir yang sedia ada mungkin mengambil sedikit masa lagi untuk surut sepenuhnya memandangkan air pasang besar akan berlaku pada esok (13 Januari) dan ombak besar dijangka akan berterusan di Laut China Selatan untuk beberapa hari lagi.
“Keadaan cuaca buruk yang berlaku di utara Sabah sekarang dijangka berterusan sehingga hari ini manakala bagi Sarawak, keadaan cuaca lembap dijangka berterusan sehingga Februari depan dengan hujan sederhana lebat diramal berlaku pada 14 dan 15 Jan di bahagian barat Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, MetMalaysia juga menjangkakan kejadian hujan lebat berkemungkinan berlaku di Sarawak pada 18 dan 19 Januari ini.
“Saya menyeru orang ramai sentiasa mengambil serius setiap maklumat yang dikeluarkan dan mengambil langkah berjaga-jaga, seperti bersedia untuk berpindah ke pusat pemindahan banjir,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai juga dinasihatkan merujuk laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my/ dan alikasi ‘MyPublicInfoBanjir’ bagi mendapatkan maklumat semasa hujan dan aras air sungai utama seluruh negara.
“Selain itu, penduduk di kawasan yang berisiko banjir dinasihatkan untuk memastikan sistem pengairan dan saliran air di sekitar kawasan perumahan setempat sentiasa dibersihkan, dan tidak menghalang laluan air,” katanya.
Tambahnya, sebanyak 320 kejadian banjir telah direkodkan dari November 2020 hingga 10 Januari lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!