Warga Kemboja ceroboh, curi hasil hutan ditahan

Perhilitan menahan dua lelaki warga Kemboja dalam Ops Bersepadu Khazanah di Rezab Hidupan Liar Krau, Pahang, pada Ahad. Foto: Perhilitan
Perhilitan menahan dua lelaki warga Kemboja dalam Ops Bersepadu Khazanah di Rezab Hidupan Liar Krau, Pahang, pada Ahad. Foto: Perhilitan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan haram dua lelaki warga Kemboja menceroboh Rezab Hidupan Liar Krau, Pahang dan mencuri hasil hutan berjaya dipatahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada Ahad.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, operasi kira-kira jam 12 tengah hari itu bertindak menerusi Ops Bersepadu Khazanah (OBK).

Menurutnya, pemeriksaan pada suspek berusia 55 dan 57 tahun itu menemui kuku dan gigi binatang liar selain kayu gaharu berserta peralatan mengambil kayu gaharu.

"Dianggarkan nilai rampasan itu berjumlah kira-kira RM5,000.

"Kita percaya suspek telah aktif dalam kegiatan haram ini sejak dua tahun lalu dengan memasarkan hasil jenayahnya itu di pasaran luar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Kuku hidupan liar yang ditemui susulan penahanan dua lelaki warga Kemboja dalam Ops Bersepadu Khazanah di Rezab Hidupan Liar Krau, Pahang, pada Ahad. Foto: Perhilitan
Kuku hidupan liar yang ditemui susulan penahanan dua lelaki warga Kemboja dalam Ops Bersepadu Khazanah di Rezab Hidupan Liar Krau, Pahang, pada Ahad. Foto: Perhilitan

Beliau berkata, suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abdul Kadir berkata, pihaknya mengingatkan mana-mana pihak agar tidak terlibat dalam kegiatan penyeludupan hidupan liar atau sebarang aktiviti berkaitan bagi mengelakkan tindakan tegas dikenakan.

"Perhilitan sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasa lain seperti kastam dan polis dalam usaha negara melindungi spesies terancam terutamanya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!