Jangan serbu pasar raya: Polis
SHAH ALAM - Orang ramai diingatkan untuk tidak menyerbu pasar raya atau pusat beli-belah dengan membuat pembelian panik hingga merisikokan penularan Covid-19.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pembelian panik tidak sepatutnya timbul kerana barangan keperluan sentiasa mencukupi.
"Kita sudah lalui PKP fasa pertama tahun lalu.
"Saya hendak tegaskan, kita bukan tidak benarkan orang keluar membeli barang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini, cuma hanya ada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi.
"Ada yang kita dapati semalam orang ramai telah berpusu-pusu ke pasar raya. Tidak perlu berpusu-pusu.. hari ini masih boleh pergi, esok pun boleh. Cumanya tidak boleh 'berkelah' dan santai-santai, itu sahaja," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Selasa.
Beliau berkata, pihaknya berharap masyarakat dapat memahami situasi ini dan memberikan kerjasama yang baik.
Tambahnya, beliau yakin sekiranya masyarakat dapat memberikan kerjasama kepada pihak polis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan semua pihak yang menguatkuasakan SOP PKP, rantaian Covid-19 ini akan dapat diputuskan.
Katanya, pihaknya juga akan mengambil langkah tegas tanpa kompromi sekiranya ada individu yang ingkar dengan arahan pihak berkuasa.
"Kami tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun RM1,000," katanya.
Mengulas jumlah sekatan jalan raya di Selangor ketika PKP bermula 13 Januari ini, Arjunaidi berkata, masih belum ada jumlah yang lebih tepat kerana pihaknya masih dalam proses menyusun lokasi dan jumlah keanggotaan petugas.
"Namun, saya tidak menolak kemungkinan jumlah sekatan jalan raya di Selangor ada sekitar 100 hingga 120 iaitu jumlah yang sama ketika PKP tahun lalu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!