Darurat penting perangi Covid-19, stabilkan ekonomi: Tok Pa

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed
A
A
A

KOTA BHARU- Susulan pengumuman darurat, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menyifatkan keputusan terbabit amat penting bagi memerangi penularan Covid-19 dan menstabilkan ekonomi negara.

Justeru, Mustapa mengharapkan dalam situasi terkini, setelah pengumuman darurat semua ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang meletakkan kepentingan rakyat sebagai perkara utama.

Harapan terbabit dikongsikan Ahli Parlimen Jeli itu menerusi Facebooknya pada Selasa.

Beliau kini sedang menjalani rawatan pesakit Covid-19 di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, di sini.

“Sebagai salah seorang yang sedang menerima rawatan, saya amat memahami kata-kata Perdana Menteri dalam perutusan Perintah Kawalan Pergerakan semalam. Demi negara, wabak ini perlu dikawal dengan penuh ketegasan.

“Perkenan darurat oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong dan pengumuman oleh Perdana Menteri hari ini amat penting bagi memastikan kita menang dalam memerangi Covid-19 dan memulih serta menstabilkan ekonomi,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos atau satu tarikh lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Jeli itu berkata, dalam situasi sebegini semua ahli Parlimen perlu bersatu hati supaya krisis yang amat mencabar buat negara dapat ditangani dengan baik.

Artikel Berkaitan:

“Rakyat perlukan pertolongan. Hentikan politicking. Letakkan perbezaan politik di tepi dan tumpukan perhatian kepada rakyat yang dahagakan pertolongan,” katanya.

Selain itu, Mustapa juga menyeru selain keputusan dilakukan kerajaan, rakyat sendiri mempunyai tanggungjawab besar untuk sama-sama perangi penularan Covid-19 di negara ini.

“Jangan leka daripada mematuhi SOP. Elak ruang sempit, elak sembang dekat dan elak tempat sesak. Sentiasa jaga jarak, cuci tangan, pakai pelitup muka. Hanya ini cara untuk elak penularan. Kita jaga kita,” nasihat beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!