Pesawat Sriwijaya Air tidak meletup di udara

Serpihan pesawat Sriwijaya Air yang ditemui dikumpulkan di pelabuhan Tanjung Priok di utara Jakarta. - Foto ANTARA
Serpihan pesawat Sriwijaya Air yang ditemui dikumpulkan di pelabuhan Tanjung Priok di utara Jakarta. - Foto ANTARA
A
A
A

JAKARTA - Siasatan awal Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional Indonesia (KNKT) mendakwa, pesawat Sriwijaya Air tidak meletup di udara sebaliknya pecah selepas terhempas di perairan Kepulauan Seribu.

CNN Indonesia melaporkan, dalam satu kenyataan KNKT pada Selasa, pesawat itu berada pada ketinggian 10,900 kaki dan data itu telah direkodkan pada jam 2.30 petang waktu tempatan pada Sabtu.

Namun pada jam 2.36 petang, berlaku penurunan drastik pada ketinggian 250 kaki sekali gus menunjukkan sistem pesawat masih berfungsi dan mampu merekodkan data, menurut KNKT.

"Dari data ini kami mengesyaki bahawa mesin atau enjin masih hidup sebelum pesawat terhempas ke lautan," kata Ketua KNKT Soerjanto Tjahjono.

Selain itu, data lapangan yang diperolehi KNKT dari kapal KRI Rigel milik tentera laut mendapati serpihan pesawat mempunyai ukuran 100 meter lebar dan panjang 300-400 meter.

"Berdasarkan serpihan yang berada dekat antara satu sama lain memberi gambaran bahawa pesawat tidak mungkin meletup di udara.

"Faktor lain, adalah penemuan turbin angin dengan bilah kipas yang rosak. Kerosakan pada bilah kipas menunjukkan bahawa mesin masih berfungsi ketika hentaman berlaku. Ini seiring dengan sistem pesawat yang masih berfungsi sehingga pesawat berada pada ketinggian 250 kaki," jelas Soerjanto.

Walau bagaimanapun, pemerhati penerbangan, Ruth Hana Simatupang, meminta KNKT mengumpulkan data sebanyak mungkin kerana kekurangan data akan melambatkan lagi proses penyiasatan.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, pasukan polis berjaya mengenal pasti mayat mangsa pesawat Sriwijaya, melalui cap jari.

Operasi pencarian masih diteruskan dan berfokus kepada mendapatkan kotak hitam pesawat, selepas koordinat pesawat yang terhempas di perairan itu telah dikenal pasti.

Penerbangan Sriwijaya SJ-182 itu membawa 62 penumpang termasuk 12 anak kapal.

ARTIKEL BERKAITAN Cebisan tubuh manusia ditemui di luar pesisir Jakarta

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!