Inter persia bakat Eriksen
PENGENDALI Denmark, Kasper Hjulmand mempersoalkan tindakan Inter Milan yang mempersia-siakan bakat dimiliki Christian Eriksen selepas jarang menurunkan pemain itu dalam kesebelasan utama pasukan.
Menurut Hjulmand, tindakan pengurus Inter, Antonio Conte yang mengenepikan pemain tengah itu adalah tidak wajar memandangkan Eriksen adalah seorang bintang.
"Eriksen kurang diberikan peluang bermain pada tahun lalu. Ia satu pembaziran bakat untuk melihat dia hanya berada di bangku simpanan. Dia terlalu bagus hanya untuk berada di bangku simpanan.
"Saya melihat sendiri keupayaanya di atas padang dan saya sangat berharap dia akan mendapat lebih banyak minit bermain tahun ini," katanya.
Eriksen menyertai Inter daripada Tottenham Hotspur pada Januari, namun masih gagal menembusi pasukan utama gergasi Itali itu.
Malah, Inter juga dilaporkan sedia menjual Eriksen pada jendela perpindahan kali ini dengan Spurs dilaporkan bakal mendapatkan kembali pemain kelahiran Denmark itu.
Bagaimanapun, Hjulmand tidak mengetahui perancangan Eriksen namun mengharapkan keputusan terbaik dapat dibuat oleh pemain berusia 28 tahun itu.
"Saya yakin Eriksen akan membuat keputusan bijak untuk kariernya dan juga untuk pasukan kebangsaan.
"Saya juga dapat memberikan jaminan bahawa tempatnya dalam pasukan Denmark akan terjamin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!