Empat beranak antara tujuh individu mengaku merusuh, cederakan polis

Empat beranak antara tujuh individu yang didakwa di mahkamah atas pertuduhan merusuh sehingga menyebabkan kecederaan seorang anggota polis. Foto Bernama
Empat beranak antara tujuh individu yang didakwa di mahkamah atas pertuduhan merusuh sehingga menyebabkan kecederaan seorang anggota polis. Foto Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - Empat beranak yang terdiri daripada ayah dan tiga anak lelakinya antara tujuh individu yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan merusuh sehingga menyebabkan kecederaan seorang anggota polis.

Md Yusof Husin, 59, dan tiga anak lelakinya, Muhammad Ali Nijam, 20, Muhammad Zahir, 27, dan Muhammad Sabeerin, 29, bersama tiga lagi individu iaitu Mohd Aidel Md Yusop, 31, Muhammad Noor Azroy Md Sharif, dan Muhammad Rozaimi Hasim, masing-masing 28, bagaimanapun mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurhasmanita Abdul Manap.

Kesemua tertuduh yang merupakan buruh, peniaga dan penganggur itu didakwa melakukan rusuhan dan telah mendatangkan kecederaan kepada Kpl Ramanan a/l Gunashekaran pada pukul 8.10 malam di tepi jalan besar, Simpang Tiga Ayer Pasir, Machap Baharu di sini, pada Jumaat lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Ketujuh-tujuh individu itu kemudiannya didenda sebanyak RM3,000 setiap seorang atau enam bulan penjara jika gagal bayar membayar denda tersebut.

Sementara itu, Mohd Aidel dan Muhammad Sabeerin mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencederakan Ramanan ketika anggota polis itu menjalankan kewajipannya sebagai anggota pasukan keselamatan pada masa dan tempat yang sama.

Bagaimanapun, tiga lagi rakannya, Muhammad Al Nijam, Muhammad Noor Azroy dan Muhammad Zahir minta dibicarakan.

Bagi kesalahan itu, kelima-lima mereka didakwa mengikut Seksyen 322 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi kesalahan itu, Mohd Aidel dan Muhammad Sabeerin didenda RM3,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Sebutan semula kes terhadap Muhammad Al Nijam, Muhammad Noor Azroy dan Muhammad Zahir yang masing-masing dibenarkan diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin, ditetapkan pada 19 Feb.

- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!