Lelaki miliki lebih 60 peluru secara haram didenda
ALOR GAJAH - Seorang lelaki yang memiliki 67 butir peluru di kediamannya dikenakan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, di sini, pada Selasa.
Majistret Nurhasmanita Abdul Manap membuat keputusan itu selepas tertuduh, Nur Ali Dollah, 39 mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.
Tertuduh yang merupakan penganggur diperintahkan menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati memiliki 57 butir peluru jenis Caliber.38spl berwarna perak, lapan butir peluru Caliber.38spl berwarna perang, dan dua butir peluru hidup jenis Caliber.5.56mm.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira jam 8.30 pagi di Kampung Gadek pada 31 Disember tahun lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, SR. Arthana memohon agar hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.
Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan peluru berkenaan adalah pemberian kenalan yang merupakan bekas pesara tentera dan tidak tahu tindakan menyimpan peluru itu adalah satu kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!