Indira Gandhi mohon KPN jawab 48 soalan siasatan bekas suami
KUALA LUMPUR - M Indira Gandhi memohon supaya Ketua Polis Negara (KPN) menjawab 48 soalan berhubung siasatan ke atas bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah dalam kes saman dikemukakan guru tadika itu terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Saman itu berhubung dakwaan PDRM gagal melaksanakan waran komital untuk menangkap Muhammad Riduan dan memulangkan anak perempuan mereka berusia 13 tahun yang dilarikan lelaki itu, 12 tahun lepas.
Permohonan interogatori tersebut difailkan Indira semalam, menerusi firma guaman Tetuan Raj & Sach bagi mendapatkan perintah mahkamah, supaya KPN selaku defendan pertama menjawab soalan-soalan berkenaan secara bertulis, melalui afidavit mengikut Aturan 26 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Dalam permohonan itu, Indira antara lain memohon KPN menjawab soalan berkaitan siasatan dijalankan termasuk lokasi bekas suaminya, yang sebelum ini dikenali sebagai K Patmanathan yang didakwa berada di Selatan Thailand.
Peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili Indira ketika dihubungi pemberita berkata, mahkamah menetapkan 14 Januari ini untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Idamasliza Maarof, menerusi sistem dalam talian.
Pada 28 Oktober tahun lepas, Indira, 46, selaku plaintif memfailkan saman dengan menamakan KPN, PDRM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia, selaku defendan.
ARTIKEL BERKAITAN: Indira Gandhi saman PDRM, tiga lain
Bukit Aman lantik pegawai kanan tinggi ketuai kes Indira Gandhi
Kes Indira Gandhi: PDRM giat kesan Muhammad Riduan
Dalam penyataan tuntutannya, Indira mendakwa defendan pertama iaitu KPN telah dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mandamus daripada Mahkamah Persekutuan, kerana gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya, untuk mengembalikan Prasana Diksa kepadanya.
Dakwa wanita itu, kesemua defendan mempunyai peranan dalam membuat keputusan atau memberi arahan kepada PDRM, bagi melaksanakan waran komital terhadap Muhammad Riduan seperti yang diperintahkan Mahkamah Persekutuan, pada 29 April 2016.
Plaintif juga mendakwa kelakuan kesemua defendan secara langsung, menyebabkan perpisahan antara beliau dengan anak bongsunya itu berlanjutan sehingga pada Selasa dan Muhammad Riduan berjaya melarikan diri.
Oleh itu, Indira antara lain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta faedah, selain memohon deklarasi bahawa defendan pertama telah melakukan ‘tort nonfeasance’ di pejabat awam dan defendan kedua, ketiga dan keempat, bertanggungjawab secara vikarius bagi tort nonfeasance yang dilakukan defendan pertama. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!