Solat Jumaat, fardu di masjid dan surau Selangor ditangguh
SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menetapkan solat Jumaat di semua 425 masjid dan 278 surau kebenaran solat Jumaat di negeri ini ditangguhkan bermula Rabu hingga satu ketetapan baharu dibuat kelak.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad menerusi satu kenyataan memaklumkan, solat Jumaat itu wajib digantikan dengan solat Zuhur di rumah masing-masing.
Bagaimanapun, menurutnya lima petugas masjid dan surau kebenaran solat Jumaat yang dijadualkan bertugas boleh mendirikan solat itu berdasarkan surat rasmi Jabatan Mufti Selangor bertarikh 27 Oktober lalu.
Jelasnya, solat fardu berjemaah di semua 425 masjid dan 2,025 surau di Selangor juga ditangguhkan sehingga permakluman baharu dibuat mengenainya dari masa ke masa.
"Ketika ini hanya lima orang jawatankuasa dibenarkan untuk bertugas dan mendirikan solat fardu di masjid dan surau.
"Umat Islam di Selangor diminta untuk menghadapi situasi ini dengan sabar dan mendirikan solat fardu di kediaman masing-masing," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Mohd Shahzihan berkata, meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, pihak pentadbir masjid atau surau dikehendaki untuk memberi akses kepada musafir yang memerlukan kemudahan menunaikan solat di ruang disediakan.
Namun katanya, pihak masjid dan surau hendaklah memastikan kemudahan tersebut tidak disalahguna oleh jemaah yang bermusafir.
Terdahulu Mohd Shahzihan berkata, aktiviti mengimarahkan masjid dan surau termasuk kuliah, ceramah dan tazkirah sepanjang tempoh PKP juga ditangguhkan.
Katanya, hanya kuliah atau tazkirah dibuat di kediaman penceramah secara atas talian dibenarkan untuk dikongsikan kepada ahli kariah.
"Begitu juga pelaksanaan Program Selangor Berdoa dan Bermunajat boleh diteruskan petugas masjid dan surau yang bertugas.
"Jawatankuasa yang ditetapkan oleh pentadbir masjid atau surau hendaklah memastikan prosedur operasi standard (SOP) terus dipatuhi," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pengurusan jenazah boleh dilaksanakan di masjid dan surau namun kehadiran ahli keluarga dihadkan tidak melebihi 10 orang.
Jumlah itu katanya, tidak termasuk petugas pengurusan jenazah serta jawatankuasa masjid dan surau yang ditugaskan oleh pentadbir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!