Siasat punca Covid-19, WHO tiba di Wuhan Khamis

Covid-19 didakwa pertama kali dikesan di sebuah pasar borong di bandar Wuhan di China yang menjadi pusat wabak itu pada akhir 2019. - Foto: AFP
Covid-19 didakwa pertama kali dikesan di sebuah pasar borong di bandar Wuhan di China yang menjadi pusat wabak itu pada akhir 2019. - Foto: AFP
A
A
A

BEIJING - Pasukan pakar antarabangsa mewakili Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang akan menyiasat asal-usul Covid-19 akan tiba di bandar Wuhan pada Khamis.

Ketua agensi kesihatan PBB itu, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, WHO tidak sabar untuk bekerjasama dengan China untuk menjayakan misi tersebut untuk mengenal pasti sumber virus berbahaya itu dan bagaimana ia merebak dalam kalangan populasi manusia dan menjangkiti hampir 91 juta orang di seluruh dunia.

Minggu lalu, Dr Tedros menyuarakan kekecewaan beliau apabila Beijing sekali lagi menangguhkan misi sukar tersebut hingga menyebabkan dua anggota pasukan terbabit yang sudah dalam perjalanan ke negara itu terpaksa berpatah balik.

China bagaimanapun menjelaskan perkara tersebut berlaku kerana salah faham antara kedua-dua belah pihak.

"Menurut rancangan terkini, pasukan pakar antarabangsa itu akan berlepas dari Singapura," kata jurucakap Kementerian Luar, Zhao Lijian pada Selasa.

Beliau tidak menyatakan sama ada mereka perlu menjalani kuarantin sejurus tiba di Beijing dan tidak memberikan butiran lanjut tentang misi tersebut.

Menjelang lawatan itu, China mendakwa beberapa kajian mendapati wabak itu muncul di beberapa wilayah dan bukan di bandar Wuhan seperti diketahui komuniti antarabangsa.

Terdahulu, pakar kesihatan menyatakan mereka tidak meletakkan harapan yang tinggi bahawa pasukan pakar antarabangsa itu akan mencapai kesimpulan daripada misi tersebut. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!