Banjir kini beralih ke Sabah
KUALA LUMPUR - Ketika keadaan banjir di beberapa negeri di Semenanjung menunjukkan tanda-tanda pulih, Sabah pula menghadapi bencana itu.
Hujan lebat sejak Ahad lepas yang memaksa kumpulan mangsa pertama di negeri di Bawah Bayu itu dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) pada Isnin dijangka berterusan hingga Khamis ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
MetMalaysia turut mengeluarkan amaran cuaca buruk dan waspada dengan hujan lebat itu di Sarawak untuk tempoh sama.
Jumlah mangsa yang dipindahkan ke PPS di negeri itu turut meningkat mendadak kepada 1,765 orang petang Selasa.
Negeri-negeri lain menunjukkan perkembangan positif dan setakat Selasa tiada hujan diramal berlaku.
Selepas Perak dan Terengganu pulih sepenuhnya pada Isnin, Kelantan pula dijangka menyusul esok selepas mangsa di negeri itu hanya berbaki 154 orang yang ditempatkan di sebuah PPS iaitu di Rantau Panjang.
Pahang pula walaupun masih kekal dengan jumlah mangsa yang tinggi iaitu seramai 16,373 orang setakat petang Selasa turut menunjukkan trend menurun sejak Isnin.
Begitu juga di Johor dengan jumlah mangsa banjir terus berkurangan kepada 3,274 orang setakat ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!