Demokrat perkenal artikel pemecatan Trump

Tindakan pencerobohan dilakukan penyokong Trump ke atas Capitol pada minggu lalu telah menyebabkan beliau kini berdepan desakan meletak jawatan atau disingkirkan. - Foto: Agensi
Tindakan pencerobohan dilakukan penyokong Trump ke atas Capitol pada minggu lalu telah menyebabkan beliau kini berdepan desakan meletak jawatan atau disingkirkan. - Foto: Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Anggota parti Demokrat di Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) secara rasmi memperkenalkan artikel pemecatan terhadap Presiden Donald Trump kerana menghasut rusuhan ganas ke atas Capitol sebagai cubaan untuk menggagalkan proses kiraan Undi Elektrol yang dilakukan Kongres bagi mengiktiraf kemenangan Joe Biden pada minggu lalu.

Artikel pemecatan Trump yang diperkenalkan pada Isnin itu mendakwa Trump menghasut pemberontakan dengan cara membuat dakwaan palsu kononnya berlaku penipuan undi yang menyebabkan kekalahannya pada Pilihan Raya Presiden AS 2020.

Pemimpin majoriti Dewan Perwakilan, Steny Hoyer berkata, undian untuk pemecatan Trump dijangka dibuat pada Rabu.

"Saya mahu artikel pemecatan itu dikemukakan kepada Senat yang dikuasai Republikan secepat mungkin," tegasnya.

Pada Isnin, anggota Kongres, David Cicilline mengetuai 213 anggota lain yang mengambil langkah itu menyatakan beliau mendapat sokongan majoriti mudah di Dewan Perwakilan.

"Seramai 220 anggota Demokrat akan mengundi untuk memecat Trump," lapor The Washington Post memetik kenyataannya.

Jika Dewan Perwakilan sebulat suara mengundi untuk memecat Trump, Senat kemudiannya akan mengadakan perbicaraan dan mengundi sama ada mahu membebaskan atau mengenakan sabitan ke atas beliau.

Pada 5 Februari 2020, Senat membebaskan Trump daripada artikel pemecatan kerana gagal memperoleh undi dua pertiga senator yang menyaksikan 52 senator Republikan menolak dakwaan salah guna kuasa dan 53 senator menolak dakwaan cubaan menghalang Kongres yang dikemukakan Dewan Perwakilan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, Trump dilaporkan bertemu dengan Mike Pence di Pejabat Oval selepas Naib Presiden terbabit kini berdepan tekanan untuk menggunakan Pindaan ke-25 Perlembagaan bagi menyingkirkan bilionair hartanah terbabit.

"Perbincangan kedua-duanya berjalan lancar," ujar pegawai pentadbiran di Rumah Putih yang merupakan pertemuan pertama antara mereka sejak rusuhan ganas di Capitol pada minggu lalu.

Menurutnya, Trump juga tidak berhasrat untuk meletak jawatan sebelum penggal pentadbirannya berakhir pada 20 Januari depan malah Pence tidak akan tunduk dengan desakan banyak pihak yang mendesak langkah penyingkiran Presiden kerana didakwa tidak berupaya menjalankan tugasnya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!