FAM, MFL tak panik!

Hamidin Mohd Amin
Hamidin Mohd Amin
A
A
A

LIGA Malaysia (Liga-M) 2021 yang dijadualkan membuka tirainya 26 Februari ini berdepan kemungkinan ditangguhkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu mulai hari ini.

Bagaimanapun, MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak panik dengan situasi itu, sebaliknya sudah mempunyai beberapa pilihan yang mungkin akan dilakukan sekiranya PKP dilanjutkan.

Malah, Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan terdapat juga kemungkinan saingan Liga-M 2021 akan berlangsung dengan format sama seperti tahun lalu sekiranya situasi semasa Covid-19 berterusan.

“Setelah keputusan kerajaan semalam (kelmarin), kita kena ikut dan akur kerana ia melibatkan kesihatan semua pihak dan dalam tempoh dua minggu ini kita perlu patuh dan ikut prosedur ditetapkan kerajaan.

“Di pihak FAM dan MFL juga kami telah bersedia dengan beberapa pilihan sebab ada kemungkinan akan jadi macam tahun lalu. Memang kita sudah ada pengalaman.

“Tetapi situasi sekarang mungkin berbeza sedikit kerana kes (jangkitan Covid-19) telah mencecah ribuan (pesakit),” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ke-12 di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Selasa.

Pada Isnin, kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan PKP mulai hari ini hingga 26 Januari, sekali gus memberi petanda awal tentang kemungkinan Liga-M 2021 akan ditangguhkan.

Hamidin yang juga Presiden FAM turut meminta setiap pasukan termasuk yang beraksi dalam liga bawahan seperti Liga M3, Piala Presiden dan Piala Belia agar patuh dengan arahan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Kalau kita lihat perkara ini (latihan pramusim), kejohanan tidak ada, belum lagi (bermula). Dijangka pada 26 Februari (aksi Piala Sumbangsih melibatkan Johor Darul Ta’zim dan Kedah), sebelum Liga Super, Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia bermula.

“Tapi kita ikut prosedur yang ditetapkan kerajaan semalam (kelmarin) tentang proses ini dan kita pun tak ada pertandingan, hanya latihan. Tapi mereka (pasukan) perlu patuh untuk tidak melakukan latihan, maknanya mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang telah ditetapkan pihak kerajaan,” ujarnya.

Pada masa sama, Hamidin berkata, pihaknya akan berkerjasama rapat dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenai situasi semasa PKP sebelum mengambil langkah seterusnya.

“Sebab itu kami telah menyediakan beberapa pilihan yang boleh diambil sekiranya PKP ini dilanjutkan. Saya berharap semua orang dapat mendoakan agar kes Covid-19 ini dapat turun dalam tempoh dua minggu ini,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!