Banyak jasa mi segera
MOMOFUKU Ando bukan ahli gusti Sumo. Bukan ahli politik. Bukan panglima tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Bukan juga doktor yang ‘mencipta’ virus dan kemudian menjual vaksin pencegahnya.
Dia usahawan biasa yang kejayaannya luar biasa. Jasanya cukup besar kepada kita semua, termasuk anak-anak gadis yang tidak pandai atau tidak rajin memasak.
Saya sengaja bertanya soalan tentang Ando ini sekadar untuk menguji setakat mana sifat ambil berat kita terhadap akar umbi atau asal-usul sesuatu. Selalunya jarang, kan? Kalau tengok orang lain makan - jika kena dengan selera - kita pun ikut makan. Kalau orang lain minum - dan kena dengan tekak - kita pun minum.
Jarang kita luangkan masa untuk memeriksa makanan dan minuman itu sumber asalnya daripada mana, siapa yang mengusahakannya, siapa yang mengedarnya dan sebagainya. Sebab itu apabila berlaku sesuatu perkara di luar jangkaan, misalnya kes daging kuda, daging kangaru dan label halal disalahguna, kita terkejut sampai ternganga-nganga.
Berbalik pada Ando. Lelaki Jepun berketurunan Taiwan itu merupakan orang yang mencipta mi segera moden. Mi yang kemudiannya menjadi kegilaan dan seterusnya menjadi keperluan di merata pelosok dunia, khususnya di Asia.
Di Malaysia, mi yang asalnya dinamakan ‘Chikin Ramen’ oleh Ando dan dilancarkan pada tahun 1958 itu sekarang ini muncul dalam pelbagai variasi dan jenama. Tetapi ada satu nama yang kuat melekap di hati kita semua ialah Maggi.
Maggi sebenarnya sebuah syarikat pengeluar makanan Switzerland yang wujud lama sebelum Ando menubuhkan Nissin Foods, pengeluar ‘Chikin Ramen’ ciptaannya. Syarikat itu pada asalnya diwujudkan bagi tujuan meningkatkan pengambilan pemakanan keluarga pekerja.
Ia merupakan pengeluar yang pertama membawa makanan kekacang yang kaya dengan protein ke pasaran, diikuti dengan sup berasaskan makanan kekacang pada tahun 1886. Tetapi Maggi tidak begitu dikenali di rantau sebelah sini.
Sehingga syarikat itu diambil alih oleh Nestle pada tahun 1947 iaitu 63 tahun selepas penubuhannya, jenama tersebut masih menjadi nama yang asing.
Ketika ia muncul dengan dua produk pertamanya yang dihasilkan di Malaysia pada tahun 1969, iaitu sos tomato dan sos cili, jenama Maggi hanya berlegar di kalangan kelompok tertentu masyarakat bandar.
Keadaan berubah dua tahun kemudian apabila ia memperkenalkan mi segeranya di pasaran. Produk itu yang disinonimkan dengan tag line ‘dua minit’ pantas menjadi fenomena. Harganya yang murah, kaedah penyediaannya yang ringkas dan rasanya yang sedap menyebabkan ia menjadi kegilaan ramai.
Saya tidak pasti apakah ada kaitan antara mi segera keluaran Maggi dengan mi segera ciptaan Ando. Tetapi suatu hal yang pasti, kedua-duanya berjaya menakluki pasaran dalam tempoh yang singkat.
Di Malaysia pula, mi segera ‘membiak’ dengan cepat. Dari satu jenama, berkembang menjadi puluhan jenama. Jika dahulu ia cuma mempunyai satu perisa, kini perisanya telah pelbagai. Tidak lama lagi jangan pula hairan jika ada mi segera berperisa budu atau tempoyak.
Satu laporan pada tahun 2015 mengatakan bahawa rakyat Malaysia memakan 3.6 juta bungkus mi segera sehari atau kira-kira 1.34 bilion bungkus setahun.
Itu lima tahun lepas. Sekarang angkanya tentu sudah bertambah. Apatah lagi dengan adanya perintah kawalan pergerakan (PKP) gara-gara Covid-19 sejak Mac tahun lalu, saya pasti jualan mi segera meningkat dengan mendadak.
Ada kawan beritahu saya, sepanjang PKP fasa pertama dia makan mi segera lima atau enam kali seminggu sebab malas hendak melalui sekatan jalan raya setiap kali hendak ke kedai.
Bukanlah semua cerita tentang mi segera ini manis didengar. Yang pahit, manis, kelatnya pun banyak. Malah yang mengerikan pun ada.
Makan terlalu banyak segera boleh mengakibatkan barah, boleh mereputkan usus, boleh menggugurkan rambut, boleh mengakibatkan kemandulan adalah sebahagian daripada ayat-ayat yang selalu kita dengar.
Sama ada ia dakyah atau tidak, terserah pada masing-masing untuk mengkaji dan menilainya. Namun, jika dakyah sekalipun, ia sesungguhnya dakyah yang gagal. Kalau seorang dua terpengaruh dan berhenti memakannya, akan muncul dua tiga puluh orang lagi pengguna baharu. Demikianlah betapa hebat pengaruhnya.
Ayat ‘cepat dimasak, sedap dimakan’ sangat mesra dengan halwa telinga. Ayat-ayat itu memang ringkas, tetapi impaknya cukup besar.
Apabila berasa lapar dalam keadaan kesuntukan masa untuk memasak atau pergi membeli makanan di kedai, perkara pertama yang terlintas di fikiran kita adalah mi segera.
Begitu juga apabila kita kekurangan wang belanja, sedangkan perut menjerit minta diisi, maka mi segera jugalah yang kita jadikan pilihan.
Sebab itulah mi segera sangat popular di kalangan pelajar, baik yang tinggal di asrama, di kampus atau di bilik dan di rumah sewa. Untuk memasaknya anda tidak perlu bersusah payah ke pasar membeli sawi, daun sup dan sebagainya, tidak perlu berpandukan resipi, tidak perlu menumis hatta pada dinihari.
Rendam dengan air panas sahaja sudah memadai. Malah kalau tidak ada air panas, guna air sejuk pun boleh. Jika tiada mangkuk, baldi basuh kain pun boleh digunakan. Jika tiada sudu dan garfu, pen dan pensil berfungsi pengganti penyepit. Sudahlah begitu, harganya pula lebih murah daripada sebatang rokok.
Di kalangan orang bujang lelaki dan perempuan, golongan pekerja yang hendak menjimatkan belanja, kakitangan pejabat yang terbatas masa rehat dan masa makan minumnya disebabkan kesibukan berterusan, pasangan muda yang isterinya belum mahir menggunakan kuali dan periuk, semuanya akan menjadikan mi segera sebagai salah satu keutamaan dalam hidup.
Seorang rakan, wartawan, memberitahu saya perihal seorang menteri Kabinet wanita, yang kini tidak lagi aktif berpolitik, sentiasa memastikan ada stok mi segera di pejabatnya.
Seorang kawan lain pula, walaupun bergelar jutawan, menjadikan mi segera sebagai bahan ‘wajib ada’ dalam kabinet tempat menyimpan stok makanan keluarganya.
Jasa mi segera cukup besar kepada penduduk negara ini, dari penggali kubur sehinggalah kepada pemimpin negara.
Memetik kata-kata seorang doktor perubatan, “mi segera tidak menjadikan seseorang itu bodoh. Banyak juga jasa dalam menghilangkan kelaparan bakal-bakal doktor, bakal-bakal jurutera, pakar ekonomi ketika di universiti.”
Di Indonesia, mi segera berjenama Indomie menjadi kebanggaan warga negara itu di mana sahaja. Kejayaan Indomie menembusi pasaran Australia, Asia, Afrika, New Zealand, Amerika Syarikat, Kanada, and Eropah menyebabkan ia menjadi salah satu sumber pembangkit patriotisme di kalangan rakyat Indonesia.
Saya tertanya-tanya bilakah agaknya mi segera kita yang berjenama tempatan, yang tebal bau Malaysianya, akan sepopular Indomie di seantero dunia? Kita menunggu mi segera tempatan dengan jenama mendunia.
* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!