Mangsa banjir di Johor bertambah, 3,314 pagi ini
JOHOR BAHRU - Mangsa banjir di Johor meningkat kepada 3,314 orang daripada 915 keluarga setakat jam 8 pagi pada Rabu.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, jumlah itu menunjukkan pertambahan berbanding 3,267 orang daripada 901 keluarga setakat jam 12 tengah malam pada Isnin.
"Sebanyak 33 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di lima daerah melibatkan Johor Bahru, Kota Tinggi, Segamat, Mersing dan Pontian.
"Daerah yang paling ramai menempatkan mangsa banjir di PPS setakat ini adalah di Kota Tinggi berjumlah 2,202 daripada 587 keluarga. Mereka ditempatkan di sekolah dan dewan di 22 PPS. Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyediakan bekalan makanan di semua PPS seluruh negeri," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berkata, air pasang terus berlaku di Tanjung Sedeli, Kota Tinggi, Johor Bahru dan Kukup, Pontian pada pagi hingga malam Rabu.
Jelasnya, air pasang berlaku di Tanjung Sedili pada jam 8.46 pagi dan 11.26 malam dengan ketinggian 193 dan 273 meter (m), Johor Bahru jam 12.02 tengah malam dan 11.05 pagi (319 dan 314m) dan Kukup jam 10.54 pagi (365m).
Vidyananthan berkata, bagi jalan yang terjejas pula hanya satu iaitu Jalan Kota Tinggi-Kluang di Taman Seri Impian di Kluang berikutan tanah runtuh, susulan itu ditutup untuk laluan semua kenderaan.
Sementara itu, Exco Kerja Raya Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohd Solihan Badri dalam satu kenyataan mengingatkan orang ramai agar berhati-hati menggunakan Lebuhraya Pasir Gudang terutama musim hujan ketika ini.
Katanya, hujan lebat kebelakangan ini menjejaskan struktur dan fizikal lebuh raya itu serta memandu pada had kelajuan yang ditetapkan.
Beliau bagi pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah mengarahkan syarikat konsensi membuat tampalan segera lubang yang sudah dikenal pasti.
"Jangan biarkan lubang yang kecil menjadi besar. Kerja-kerja membaik pulih akan terus dijalankan dan kemungkinan beberapa lokasi memerlukan penutupan bagi memudahkan kerja-kerja membaik pulih," katanya dalam satu kenyataan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!