JAIS sahkan siasat Sajat
SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan pihaknya menjalankan siasatan terhadap jutawan kosmetik, Muhammad Sajad Kamaruzzaman atau Nur Sajat baru-baru ini.
Unit Korporat JAIS menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya juga mengambil maklum berhubung video ditularkan oleh Sajat yang dirakam ketika proses siasatan dilakukan.
Menurut kenyataan itu, video terbabit memaparkan insiden melibatkan Sajat dengan beberapa anggota penguat kuasa JAIS pada 6 Januari lalu.
"Sajat telah membuat laporan polis berkaitan insiden tersebut.
"Pegawai penguat kuasa JAIS berkenaan juga telah dipanggil bagi memberikan keterangan mengenai laporan yang dibuat," kata kenyataan itu.
Dalam pada itu JAIS memaklumkan, Sajat disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor No 5 Tahun 1995.
"Ia berikutan tindakannya di Selangor dan beberapa aduan yang diterima mengenai perlakuan beliau (Sajat) pada tahun 2018 dan 2020," menurut kenyataan itu lagi.
Terdahulu, Sajat menerusi Instagram miliknya mendakwa JAIS seolah-olah melengah-lengahkan urusan surat jaminan dan turut menyebabkan kecederaan kepadanya ketika proses siasatan dijalankan di Ibu Pejabat JAIS di sini.
Sajat mendakwa beliau dilayan dengan buruk dan digari sehingga mengalami bengkak di bahagian badan kerana bergelut untuk mempertahankan diri walaupun sudah tampil memberikan kerjasama untuk siasatan pihak JAIS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!