Beri alasan keluar ronda ketika ditahan SJR

Shamsul (dua dari kanan) membuat tinjauan kenderaan di salah satu lokasi SJR berhadapan Ibu Pejabat MPK pada Rabu.
Shamsul (dua dari kanan) membuat tinjauan kenderaan di salah satu lokasi SJR berhadapan Ibu Pejabat MPK pada Rabu.
A
A
A

KLANG - Keluar meronda untuk melihat suasana persediaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Itu antara alasan diberikan pengguna lalu lintas sewaktu pelaksanaan operasi sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, menerusi pemantauan dilakukan, pihaknya mendapati terdapat sebilangan kecil pengguna lalu lintas masih belum peka dengan pelaksanaan PKP dan memberi pelbagai alasan remeh sewaktu ditahan menerusi SJR.

Antara kenderaan yang ditahan sewaktu SJR yang diadakan di hadapan Ibu Pejabat MPK pada Rabu.
Antara kenderaan yang ditahan sewaktu SJR yang diadakan di hadapan Ibu Pejabat MPK pada Rabu.

Beliau berkata, berikutan itu, pihaknya telah memberi amaran kepada pengguna terlibat sebelum penguatkuasaan lebih keras dilaksanakan selepas ini.

"Berdasarkan pemerhatian saya, masih ada sebilangan kecil pihak didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh pihak berkuasa.

"Saya menasihati agar masyarakat terutama di kawasan pentadbiran Klang Selatan agar mematuhi arahan dikuatkuasakan sepanjang PKP ini," katanya kepada media selepas meninjau lokasi SJR berhadapan Ibu Pejabat MPK pada Rabu.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP di beberapa negeri bermula 13 sehingga 26 Januari ini susulan peningkatan kes Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Shamsul berkata, IPD Klang Selatan melaksanakan lima SJR dan penutupan jalan di beberapa lokasi ditetapkan yang akan beroperasi selama 24 jam.

"Penutupan jalan sepenuhnya pula akan diadakan empat lokasi iaitu Jambatan Musaeddin, Jalan Tengku Kelana, Jambatan Raja Muda Nala, Klang, Jambatan Besi (Pengkalan Batu) dan Jambatan Raja Zainal (Jalan Bukit Badak).

"Dalam penguatkuasaan ini, pasukan kami juga akan turun ke lokasi-lokasi tumpuan bagi memastikan semua pihak mematuhi SOP ditetapkan," katanya.

Katanya, pihaknya turut menerima banyak permohonan rentas negeri daripada orang awam sejak ia dibuka jam 4 petang pada Selasa lalu.

"Anggaran lebih 100 permohonan kita terima sejak awal permohonan dibuka dan antara alasan kebanyakan mereka adalah untuk pergi bekerja sedangkan pihak syarikat boleh mengeluarkan surat tersebut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!