Hadiah RM300 jika berjaya turun 5kg berat badan
KUALA SELANGOR - Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram menawarkan hadiah RM300 kepada pengundinya yang berjaya menurunkan berat badan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula Rabu hingga 26 Januari depan.
ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli menerusi kenyataan di Facebooknya pada Selasa berkata, bagaimanapun hanya pengundi di DUN Jeram layak untuk menyertai cabaran tersebut.
"Salam pengundi Jeram. Memandangkan PKP 2.0 akan bermula mulai esok (Rabu), maka pejabat ADUN Jeram ingin mengajak anda untuk menyahut cabaran dengan melakukan aktiviti yang berfaedah sepanjang PKP kali ini.
"Bagi yang ingin menyahut cabaran ini, anda boleh hadir ke Pejabat ADUN Jeram untuk mendaftar dan melakukan penimbangan berat badan terkini," katanya.
Menurutnya, setelah tamat PKP, pihaknya akan memanggil kesemua peserta yang mendaftar untuk melakukan penimbangan semula berat badan.
"Sekiranya anda berjaya menurunkan lima kilogram daripada berat asal anda, maka anda berjaya untuk menerima hadiah saguhati sebanyak RM300.
"Pendaftaran bermula mulai hari ini (Selasa) sehingga Jumaat. Masa 8.30 pagi hingga 9 malam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!