Mayat remaja lemas di parit ditemukan
BATU PAHAT - Seorang remaja yang lemas semasa mandi di parit bersama adik dan lima rakannya di Jalan Taman Manis 6, Parit Raja di sini pada Selasa ditemukan pagi Rabu.
Mayat Mohd Naqiuddin Adnan, 16, ditemukan pada jam 8.47 pagi pada jarak kira-kira lima meter di dasar parit berkenaan dari lokasi awal mangsa dilaporkan tenggelam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Shamin Mohamed Salikin berkata, pihaknya mendapati mangsa lemas dalam parit yang berkedalamanan tiga meter dan lebar 10 meter.
"Semasa operasi mencari dan menyelamat (SAR) pihak bomba menggunakan teknik 'surface searching' dari lokasi mangsa lemas ke arah arus air yang bertentangan iaitu arah gate air.
"Operasi dilakukan pada jarak lebih kurang 1 kilometer. Operasi yang disambung semula jam 7 pagi ini (Rabu) berjaya menemukan mangsa selepas kerja-kerja SAR dimulakan semalam tidak menemukannya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Dalam kejadian pada jam 5.17 petang Selasa, remaja berkenaan bersama adik dan lima rakannya mandi di parit tersebut sebelum lemas.
Menurut Mohamad Shamin, mangsa lemas selepas menyelamatkan adiknya yang terjatuh dalam parit dengan menolaknya ke bahagian tebing parit.
"Bagaimanapun selepas berjaya menolak adiknya, mangsa tiba-tiba dibawa arus ke tengah parit sebelum hilang," katanya.
Katanya, seramai 11 anggota dari BBP Ayer Hitam dengan satu jentera Fire Rescue Team (FRT) dan satu Utiliti Pajero terlibat dalam operasi SAR berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!