Mangsa banjir di Johor berkurangan
JOHOR BAHRU - Mangsa banjir di Johor berkurangan kepada 3,312 orang daripada 913 keluarga setakat jam 12 tengah hari pada Rabu.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, jumlah itu menunjukkan sedikit pengurangan berbanding 3,314 orang daripada 915 keluarga setakat jam 8 pagi.
"Hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih di Johor Bahru pada jam 10 pagi yang sebelum ini menempatkan 30 mangsa banjir melibatkan lapan keluarga dari Taman Pasir Putih.
"Setakat ini, 32 PPS masih dibuka di lima daerah melibatkan Johor Bahru, Kota Tinggi, Segamat, Mersing dan Pontian," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Rabu.
Katanya, daerah yang paling ramai menempatkan mangsa banjir di PPS setakat ini adalah di Kota Tinggi berjumlah 2,206 daripada 586 keluarga yang ditempatkan di sekolah dan dewan di 22 PPS.
Sementara itu, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memperuntukkan RM120,000 kepada mangsa banjir di tujuh PPS di Kota Tinggi yang melibatkan 280 bungkusan makanan untuk setiap keluarga.
Penolong Pengarah Agihan Zakat, Muhammad Zakuan Ghazali berkata, pihaknya juga memberikan sumbangan 'first aid' kepada 23 buah PPS di Kota Tinggi bertujuan meringankan beban dan membantu mereka menguruskan PPS.
"Kami juga memberi semangat dan motivasi kepada mangsa banjir supaya terus tabah dan sabar dengan ujian yang menimpa.
"Bantuan ini juga diedarkan di setiap PPS dalam daerah yang mengalami banjir di Johor," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!