Lima SJR di sempadan Kedah-Pulau Pinang

Persiapan melakukan sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Petani Selatan bermula jam 12 tengah malam tadi. (Gambar kecil: Asisten Komisioner Adzli Abu Shah)
Persiapan melakukan sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Petani Selatan bermula jam 12 tengah malam tadi. (Gambar kecil: Asisten Komisioner Adzli Abu Shah)
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sebanyak lima sekatan jalan raya (SJR) dikuatkuasakan di Daerah Kuala Muda membabitkan sempadan Kedah- Pulau Pinang bagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat di Kedah sementara Pulau Pinang diperintahkan PKP, bermula 13 hingga 26 Januari 2021.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kesemua lima lokasi terbabit adalah di Plaza Tol Sungai Petani Utara, Plaza Tol Sungai Petani Selatan dan Plaza Tol Gurun manakala dua lagi SJR dikuatkuasakan di Jalan Persekutuan iaitu dekat Tikam Batu dan Pinang Tunggal yang merupakan sempadan dua negeri tersebut.

Menurutnya, penguatkuasaan akan dilaksanakan secara lebih ketat disebabkan kes Covid-19 yang meningkat tinggi sehingga mencatatkan angka melebihi 3,000 bagi seluruh negara, pada Selasa.

"Bagi Daerah Kuala Muda, di Mukim Sungai Petani diisytiharkan sebagai zon merah. Untuk makluman kes positif baharu hari ini (Selasa) ialah seramai 44 orang.

"Jadi saya telah arahkan semua petugas bertindak lebih tegas, tiada lagi kompromi dan tiada lagi amaran. Individu yang ingkar akan dikenakan tindakan," katanya ketika memantau persiapan SJR yang dilaksanakan pada malam Selasa.

Menurutnya, kebenaran merentas negeri hanya akan dilakukan bagi perkhidmatan dalam sektor pengilangan bersyarat dan keperluan asas.

Anggota bertugas melakukan persiapan sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Petani Selatan bermula jam 12 tengah malam tadi.
Anggota bertugas melakukan persiapan sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Petani Selatan bermula jam 12 tengah malam tadi.

"Maknanya rentas negeri hanya dibenarkan merangkumi sektor pengilangan dengan kebenaran Kementerian Perdagangan, Antarabangsa dan Industri, lain-lain sebab adalah dengan kebenaran pihak polis seperti perkhidmatan perubatan sakit jantung, dialisis dan sebagainya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Adzli, kekuatan yang digunakan adalah seramai 252 orang membabitkan 158 daripada Polis Diraja Malaysia dibantu oleh 58 anggota Angkatan Tentera Malaysia, dan 20 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Rela.

"Skop penugasan ialah melakukan sekatan jalan raya, bertugas di bilik gerakan, merangkumi kebajikan dan pasukan siasatan," katanya.

Kedah antara negeri melaksanakan PKP Bersyarat selain Pahang, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu dan Kelantan yang dibenarkan merentasi daerah tetapi tidak dibenarkan merentasi negeri.

Pulau Pinang, Melaka, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan serta Johor dan Sabah dikenakan PKP iaitu tidak dibenarkan rentas daerah dan negeri berikutan kes Covid-19 yang naik mendadak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!