Taktik jual jam tangan tiruan dengan kad waranti terbongkar

Muhamad Zikril (kiri) menunjukkan jam tangan yang dirampas dalam serbuan Ops Tiru di sebuah rumah di Gombak pada Selasa
Muhamad Zikril (kiri) menunjukkan jam tangan yang dirampas dalam serbuan Ops Tiru di sebuah rumah di Gombak pada Selasa
A
A
A

GOMBAK - Taktik menjual jam tangan tiruan dengan menawarkan kad waranti kononnya produk itu adalah original akhirnya terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyerbu sebuah rumah di sini pada Selasa.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, dalam operasi Ops Tiru kira-kira jam 11.30 malam itu telah menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam rumah itu menemui 500 unit jam tangan disyaki tiruan yang menggunakan jenama Casio dan G-Shock bernilai RM100,000.

"Jam tangan itu ditemui di sebuah bilik yang dijadikan stor simpanan dan pusat jualan secara atas talian.

"Turut ditemui adalah kotak pembungkus serta kad waranti jam tangan yang dijual bagi meyakinkan pembeli bahawa jam tangan yang dijual adalah tulen," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, soal siasat lelaki terbabit mengaku telah menjalankan urus niaga itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu melalui medium media sosial seperti Facebook dan Instagram.

KPDNHEP Selangor merampas jam tangan tiruan bernilai RM100,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Gombak pada Selasa.
KPDNHEP Selangor merampas jam tangan tiruan bernilai RM100,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Gombak pada Selasa.

Tambahnya, jam tangan itu dijual pada harga sekitar RM60 hingga RM200 mengikut gred dan barangan berkenaan diperoleh daripada orang tengah melalui penghantaran kurier ke rumah terbabit dengan kos sekitar RM30 hingga RM100.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019," katanya.

Dalam pada itu, bagi tempoh tahun lalu, Muhamad Zikril berkata, sebanyak 22 kes barangan tiruan telah dihasilkan dengan nilai rampasan RM541,844.30 selain empat individu ditahan.

Justeru, pihaknya memberi amaran keras kepada mana-mana individu mahu pun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang dengan menghormati hak harta intelek dan sekiranya ingkar, mereka bakal menerima hukuman yang berat sepertimana yang ditetapkan oleh undang-undang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!