Penumpang dibenarkan buat tempahan semula perjalanan: Malaysia Airlines
MALAYSIA Airlines Bhd menawarkan fleksibiliti kepada para penumpang untuk menempah semula perjalanan mereka dengan perbezaan tambang sekali dan pengecualian yuran perkhidmatan, berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri serta larangan rentas negeri yang dikenakan oleh kerajaan.
Syarikat itu dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, tempahan semula perlu dibuat pada atau sebelum 30 Jun 2021 untuk perjalanan sehingga 31 Disember 2021.
"Dengan fleksibiliti perubahan tiket, penumpang dengan semua jenis tiket, termasuk tiket penebusan Enrich dapat mengubah rancangan perjalanan mereka ke destinasi domestik sepanjang tempoh PKP,” katanya.
Sepanjang PKP ini Malaysia Airlines tetap beroperasi dengan mengurangkan frekuensi bagi memenuhi tanggungjawabnya sebagai syarikat penerbangan nasional dan menyokong pergerakan kargo dunia dengan syarikat penerbangan sekutunya MABkargo.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kapten Izham Ismail berkata: “Dengan peningkatan kes Covid-19 di dalam negara ketika ini, kami menggesa para penumpang mematuhi semua langkah keselamatan yang telah sediakan di luar dan di dalam pesawat, sebagai menyokong usaha kerajaan untuk mengekang dan memutuskan rantaian jangkitan.
“Pada awal penularan pandemik Covid-19, kami menawarkan para penumpang kami dengan pelbagai pilihan perjalanan dan akan terus berbuat demikian, untuk memberi kelegaan kepada penumpang tanpa mengira kelas tambang, termasuk Tambang Lite bahawa tiket mereka tetap layak untuk perjalanan pada masa depan bersama kami,” katanya.
Bagi pengalaman perjalanan yang lebih selamat, katanya, Malaysia Airlines dan syarikat penerbangannya, Firefly dan MASwings memperkenalkan kempen ‘Fly Confidently’ untuk mendidik penumpang mengenai langkah-langkah dipertingkatkan yang dilaksanakan di lapangan terbang dan di dalam pesawat.
“Langkah berkenaan termasuk mewajibkan penggunaan pelitup muka dan kekerapan pembasmian kuman di dalam pesawat bagi pengalaman penerbangan yang lebih selesa untuk memenuhi syarat penjarakan sosial dan sentuhan minimum serta jaminan penapis HEPA pesawat yang terbukti dapat menyaring 99.97 peratus virus di dalam pesawat,” katanya.
Para penumpang yang mahu membuat pesanan semula perjalanan mereka boleh membuat pertukaran secara dalam talian di www.malaysiaairlines.com atau hubungi pusat di 1 300 88 3000 (dalam Malaysia) atau +603 7843 3000 (luar Malaysia). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!