Kes ceroboh tanah: MB Perak gesa tindakan tegas
IPOH - Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kecewa dengan tindakan pihak yang berani menceroboh tanah kerajaan di negeri ini, sebagaimana yang berlaku di Bukit Kledang berhampiran Hutan Kledang Saiong.
Menurut Ahmad Faizal, pihaknya difahamkan lebih 10 hektar tanah di kawasan berkenaan telah diratakan oleh pihak terbabit.
Justeru katanya, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak berkenaan supaya kejadian pencerobohan itu tidak berulang pada masa hadapan.
“Kita dah teliti kawasan tersebut dan dapati mesin jentera berat telah dialihkan. Inilah yang saya sebut penerokaan haram.
“Saya sangat kecewa dengan keadaan tersebut. Diharapkan mereka yang begitu ‘berani’ ceroboh tanah kerajaan ini diambil tindakan tegas supaya tidak lagi berani masuk ke tanah kita sesuka hati,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan Cina Malaysia (PCCI) di Hotel Weil, hari ini.
Ahmad Faizal berkata demikian bagi mengulas pengesahan pihak Perbadanan Menteri Besar (MBInc) berhubung aktiviti pencerobohan tanah hampir 10 hektar secara haram berhampiran Bukit Kledang.
Sementara itu menurut Ahmad Faizal pencerobohan berkenaan berlaku mungkin disebabkan penguatkuasaan yang lemah sebelum ini.
Katanya, pihak yang menceroboh pula dilihat menggunakan kos yang tinggi berikutan jentera serta mesin-mesin yang digunakan.
“Bila buat masuk macam tu, kita rasa kecewa. Saya sendiri selalu beriadah dan ramai yang gemar mendaki bukit di situ.
“Oleh itu kerajaan negeri akan lebih memberi tumpuan kepada penguatkuasaan berkenaan dan berharap rakyat dapat sama-sama membantu.
“Buat masa ni kita akan lebih kuatkuasakan dan harap rakyat dapat bantu. Kita ucap terima kasih kepada pihak Sahabat yang mengutarakan perkara ini dan dapatlah kita mengambil tindakan segera,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!