Saifuddin arah siasat ciapan tidak senonoh di Twitter SKMM

Kenyataan akhbar Saifuddin pada Rabu.
Kenyataan akhbar Saifuddin pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah memandang serius isu tular ciapan tidak senonoh pada tahun 2014 yang dikaitkan dengan akaun rasmi Twitter Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menurutnya, arahan telah diberikan kepada Ketua Setiausaha Kementerian beliau untuk menjalankan siasatan menyeluruh daripada semua sudut termasuk tatacara pengendalian akaun Twitter tersebut.

“Sekiranya didapati berlakunya kesalahan, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab tidak kira sama ada mereka masih lagi berkhidmat di SKMM atau tidak.

“Kami di KKMM tidak akan berkompromi serta akan bertindak secara telus dalam menangani isu ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, warganet dikejutkan dengan tangkap layar ciapan berbaur jelik daripada akaun Twitter SKMM yang dipercayai dibuat antara tahun 2013 dan 2014.

Seorang pemilik akaun Twitter yang ingin dikenali sebagai Nazruihakim mendakwa, dia tidak menyangka akaun miliknya itu yang dijual pada usia kira-kira 15 hingga 16 tahun itu bertukar menjadi akaun rasmi SKMM.

Menurutnya, akaun tersebut merupakan akaun sulitnya yang mempunyai pengikut mencecah 50,000 orang pada masa itu.

Susulan itu, SKMM pada Selasa menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan hantaran mesej yang mencurigakan, jelik dan bersifat fitnah yang telah dimuat naik melalui akaun Twitter tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurut SKMM, akaun Twitter rasmi SKMM telah diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pada masa sama, suruhanjaya tersebut telah mengambil langkah menggantung akaun Twitternya iaitu @SKMM_MCMC buat sementara waktu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!