Mangsa banjir di Sabah dan Sarawak meningkat, Semenanjung beransur pulih
KUALA LUMPUR - Ketika negara bergelut mengekang penularan kes baharu pandemik Covid-19 yang ketika ini mencecah empat angka, mangsa banjir di Sabah dan Sarawak dilihat semakin meningkat.
Jika pada Selasa Sabah menjadi negeri baharu dilanda bencana itu, hari ini Sarawak dilaporkan menjadi negeri terbaharu berikutan hujan lebat sejak Isnin lepas.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk dan waspada, dengan hujan lebat dijangka berterusan di beberapa kawasan di Sarawak, sehingga Khamis.
Sementara itu, jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri itu turut meningkat mendadak kepada 358 orang petang tadi berbanding 32 orang pagi tadi.
Kesemua mangsa ditempatkan di empat PPS iaitu di Dewan Rekreasi Bimajaya, Dewan Serbaguna Taman Malihah, Rumah Kedai Batu Kawa dan Dewan Serbaguna Kampung Batu 1.
Di Sabah, mangsa banjir dilaporkan meningkat kepada 1,054 orang yang ditempatkan di lapan PPS iaitu di Kota Marudu, Pitas dan Beaufort.
Negeri-negeri lain seperti Johor, Pahang dan Kelantan menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa berkurangan dan setakat hari ini tiada hujan diramal berlaku.
Bagaimanapun, MetMalaysia mengeluarkan amaran angin kencang timur laut berkelajuan melebihi 60 km/ jam dengan ombak melebihi 4.5 meter di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Sarawak yang boleh menyebabkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai di kawasan terbabit.
Dalam perkembangan lain, situasi bencana ini terus mendapat perhatian pemimpin negara yang meluangkan masa menyantuni mangsa dan menyampaikan sumbangan.
Laman media sosial rasmi Istana Negara melaporkan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyantuni mangsa banjir di beberapa buah kampung dalam Daerah Temerloh, Pahang diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah serta Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!