Harimau Menangis: Ini penjelasan ibu Neelofa
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Syarikat Noor Khan Enterprise milik Noor Kartini Noor Mohamed tampil memberikan penjelasan berhubung isu permohonan cap dagangan Harimau Menangis keluaran Aunty Tini Kitchen melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Menerusi satu kenyataan pada Rabu, syarikat itu memaklumkan bahawa permohonan tersebut dilakukan bagi melindungi penggayaan, susun atur grafik, kod warna dan tulisan perkataan ‘Harimau Menangis’ pada bungkusan produknya.
“Ini adalah bertujuan untuk mengelakkan sebarang produk tiruan dalam pasaran yang boleh menyebabkan masalah kepada pihak kami dan pengguna di luar sana.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Harimau Menangis' trending di Twitter
“Pihak kami tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk menjual produk yang sama selagi ia tidak menyerupai pembungkusan produk pihak yang kami pasarkan.
“Selain itu, pihak kami sentiasa mengamalkan polisi persaingan perniagaan yang sihat,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, syarikat kepunyaan ibu kepada selebriti terkenal, Neelofa atau nama penuhnya Noor Neelofa Mohd Noor turut memohon maaf atas kesilapan kata-kata yang digunakan dalam kandungan video yang tular di media sosial pada Selasa.
Pada Rabu, isu berhubung nama daging Harimau Menangis telah menjadi trending di Twitter susulan tularnya video berdurasi 37 saat memaparkan Noor Kartini sedang memasak daging berkenaan selain memberitahu pihaknya sudah mendaftar untuk mempatenkan trademark Harimau Menangis.
Ekoran itu, rata-rata warga maya menyifatkan tindakan tersebut sebagai keterlaluan memandangkan sudah ramai menggunakan nama daging Harimau Menangis dalam produk mereka.
Menerusi laman web MyIPO, paten adalah satu hak eksklusif yang dianugerahkan untuk suatu reka cipta sama ada ia adalah satu produk atau satu proses untuk melakukan sesuatu yang baharu atau penyelesaian teknikal ke atas sesuatu masalah.
Selain itu, cap dagangan membawa maksud apa-apa tanda yang boleh dinyatakan secara grafik yang boleh membezakan barang-barang atau perkhidmatan satu perusahaan daripada perusahaan-perusahaan yang lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!