Penemuan dron China mencurigakan

A
A
A

MINGGU kedua tahun 2021 dimulakan dengan pendedahan yang cukup penting dari Indonesia: di sebalik pandemik Covid-19, China giat mengirim dron perisikan ke laut Melayu merentasi wilayah berdaulat Malaysia dan Indonesia.

Kepala Staf Angkatan Laut Indonesia, Laksamana Yudo Margono minggu ini telah mengadakan sidang akhbar khas ‘Penemuan Seaglider’ Unmanned Underwater Vehicle (UUV) milik China. Sebanyak tiga unit dron dasar laut China berkenaan yang berlabel ‘Shenyang Institute of Automation Chinese Academy of Sciences’ ditemui Indonesia. Penemuan dron dasar laut sepanjang 225cm dengan lebar sayap 50cm ini menghadirkan beberapa implikasi strategik yang cukup kritikal.

Pertama, dron seaglider ini terkenal cukup penting dalam arena perisikan tentera laut. Seperti mana menurut Laksamana Yudo Margono, dron China ini berupaya mengumpul data hydro-oceanography, sekali gus mampu memeta dasar laut dalam wilayah negara Indonesia dan juga Malaysia. Kedua, disebabkan teknologi dron dasar laut ini, China akan memiliki kemampuan untuk mengirim kapal selam secara rahsia ke Malaysia dan Indoesia.

Sebagaimana menurut Malcolm Davis, penganalisis senior strategi pertahanan di Australian Strategic Policy Institute, dron seaglider ini akan mengutip data persekitaran sonar di dasar laut untuk mendapatkan peta batimetri yang tepat di lantai laut, di samping sensor mengesan keadaan termal di dalam laut, serta keadaan akustik, sekali gus memberi peluang kepada kapal selam China melintasi Selat Sunda tanpa mudah dikesan.

Implikasi ketiga adalah dari segi lokasi dron dasar laut China ini ditemui – dron ini ditemui sejauh Sulawesi Selatan, iaitu di perairan Selat Sunda Indonesia. Lokasi ini adalah jauh dari perairan milik Malaysia di Laut China Selatan mahu pun Laut Natuna Utara yang kini sering diceroboh kapal China.

Hal ini secara tidak langsung mengisyaratkan bahawa China kini merancang untuk melebarkan perimeter kehadiran kapal selam mereka melepasi ‘Rantaian Kepulauan Pertama’ (First Island Chain), yakni dari Laut China Selatan hingga ke Lautan Hindi di sebelah Barat dan ke Utara Australia di sebelah Timur.Kuasai

Perkembangan ini sebenarnya menandakan betapa seriusnya usaha China untuk menguasai laluan perairan strategik yang kritikal bagi kepentingan lebih 80 peratus import tenaga mereka dari Selat Melaka dan juga mengawasi Indonesia yang saban hari semakin kuat dipujuk untuk menyokong kempen ‘Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka’ oleh seteru utama mereka: Amerika Syarikat (AS).

Perkembangan ini berlaku sekitar penghujung tahun 2020 lalu: empat kunjungan dan mesyuarat berprofil tinggi berlaku antara pemimpin Indonesia dengan AS iaitu pertama antara Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto dengan Setiausaha Pertahanan AS, Mark Esper pada Oktober, kunjungan kedua antara Setiausaha Negara, Mike Pompeo yang bertemu Menteri Luar, Retno Marsudi, ketiga antara Mike Pompeo dengan Presiden Joko Widodo dan keempat pada Disember lalu antara bakal Setiausaha Pertahanan baru AS, Christopher Miller dengan Prabowo.

Artikel Berkaitan:

Dalam setiap mesyuarat serta kunjungan ini, kedua-dua pihak berulang kali menegaskan komitmen kedua-dua negara untuk meningkatkan kerjasama strategik dan pertahanan di Laut China Selatan serta menolak dominasi Parti Komunis China yang dianggap tidak menghormati Konvensyen PBB Tentang Undang-undang Laut (UNCLOS 1982).Begitu juga dengan lawatan Christopher Miller yang memberi isyarat pentadbiran bakal Presiden Joe Biden nanti. Bagaimana pula dengan kita di Malaysia? Tahun lalu AS menyerahkan dron pengawasan maritim ScanEagle kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di samping menyokong kita daripada asakan China dalam insiden eksplorasi West Capella oleh Petronas. Semoga tahun ini kepentingan strategik kita akan terus terpelihara.

* Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!