PKP: Sabah pertimbang cadangan pergerakan lebih 10KM

Kerajaan Sabah sedang mengkaji memberi kelonggaran pergerakan dalam radius lebih 10 kilometer (KM) setelah mengambil kira keadaan negeri itu yang luas termasuk di pedalaman yang memerlukan penduduknya bergerak melebihi jarak tersebut untuk membeli barangan keperluan. - Foto fail Bernama
Kerajaan Sabah sedang mengkaji memberi kelonggaran pergerakan dalam radius lebih 10 kilometer (KM) setelah mengambil kira keadaan negeri itu yang luas termasuk di pedalaman yang memerlukan penduduknya bergerak melebihi jarak tersebut untuk membeli barangan keperluan. - Foto fail Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah sedang mempertimbang cadangan untuk memberi kelonggaran pergerakan dalam radius lebih 10 kilometer (KM) sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri juga sedang mengkaji keperluan untuk melaksanakannya seperti yang disarankan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali.

Beliau berkata, buat masa ini, kerajaan negeri menyerahkan kepada pasukan keselamatan untuk melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) seperti diputuskan sebelum ini bagi memastikan orang ramai mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang PKP.

“Bagaimanapun, orang ramai yang perlu membuat perjalanan penting boleh mendapatkan kebenaran polis untuk rentas daerah,” katanya pada sidang akhbar harian Covid-19 Sabah, di sini pada Rabu.

Hazani sebelum ini mencadangkan agar kerajaan negeri Sabah membenarkan pergerakan dalam radius lebih 10KM setelah mengambil kira keadaan negeri itu yang luas termasuk di pedalaman yang memerlukan penduduknya bergerak melebihi jarak tersebut untuk membeli barangan keperluan.

Mengulas lanjut, Masidi berkata, PKP di Kota Kinabalu merangkumi tiga kawasan termasuk Penampang dan Putatan, oleh itu tidak ada SJR di kawasan berkenaan kerana ia dikategorikan sebagai satu daerah.

Menyentuh perkembangan Covid-19 di Sabah, beliau berkata, sebanyak 450 kes baharu dicatatkan pada Rabu, meningkat 41 kes berbanding 409 pada Selasa dengan tiga kematian direkodkan masing-masing di Papar, Kudat dan Tawau.

“Sebanyak 322 kes atau 71.6 peratus daripada jumlah kes baharu itu berpunca daripada saringan kontak rapat, saringan bergejala (80 kes), saringan kluster sedia ada (14 kes) dan kategori lain (34 kes),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Masidi juga berkata, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Sabah meningkat kepada 41,899 manakala jumlah kumulatif pesakit sembuh seramai 37,964 orang.

“Seramai 306 pesakit Covid-19 sembuh dan dibenarkan keluar hospital. Sejumlah 2,833 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 753 di hospital dan 2,080 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC),” katanya sambil menambah 41.47 peratus daripada 6,829 katil yang disediakan di hospital dan PKRC digunakan pada Rabu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!