Kluster menteri, pemimpin masuk carta
SEORANG demi seorang menteri disahkan positif Covid-19, malah dilihat semakin ramai dalam kalangan pemimpin termasuk timbalan menteri dan ahli politik dijangkiti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed atau lebih mesra dipanggil Tok Pa menjadi menteri pertama positif Covid-19 pada tahun ini.
Diikuti Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Semalam, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin pula disahkan positif wabak itu.
Terdapat juga pemimpin politik disahkan dijangkiti Covid-19 sejak beberapa minggu lalu antaranya ADUN Neggiri, Abdul Aziz Yusoff; ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim dan ADUN Parit Yaani, Aminolhuda Hassan.
Dari mana diperoleh, kita tidak diberitahu dan tidak dapat dipastikan, tapi dalam kalangan mereka ada yang bergejala ada yang tidak.
Yang menjadi persoalan, sudah berapa banyak tempat mereka pergi dan berapa ramai orang mereka temui.
Sudah tiba masa pemimpin melakukan tugas betul-betul dengan norma baharu, malah mereka sepatutnya dilayan sama rata dengan rakyat dan tidak terkecuali untuk mengamalkan SOP.
Ini berikutan kita boleh melihat ramai pemimpin seolah-olah mendapat keistimewaan tertentu apabila masih lagi bebas ke sana ke sini menghadiri program itu ini.
Jika kita imbau, menteri yang pertama disahkan dijangkiti Covid-19 ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Beliau disahkan dijangkiti pada 5 Oktober tahun lalu dan sebelum itu menghadiri beberapa program termasuk berada di Sabah pda 24 September.
Selepas Pilihan Raya Negeri Sabah berakhir, ramai ahli politik daripada pelbagai parti dikesan wabak itu antaranya ADUN Dengkil, Adhif Syan Abdullah dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.
Oleh itu, gunakan PKP ini sebaik mungkin dengan menjaga diri dan keluarga kerana Covid-19 tidak pernah ‘pilih bulu’.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!