Guna kaedah 'water bombing' di Gunung Baling
BALING - Sebanyak 14 'water bombing' dilepaskan dari udara menggunakan helikopter MI17 di kawasan kebakaran Gunung Baling, hari ini.
Penolong Penguasa Bomba, Ketua Balai Baling, Jamil Mat Daud berkata, lokasi sumber air yang diubah ke lokasi lebih hampir dengan kawasan kebakaran.
"Dalam masa 2 jam hari ini kita dapat buat 14 water bombing. Berbeza dengan semalam, dalam tempoh dua jam atau lebih kita dapat buat 11 water bombing sahaja.
"Operasi hari ini juga kekal, memadam kebakaran di kawasan darat dengan jumlah keseluruhan anggota daripada pelbagai agensi sama seperti semalam iaitu 101 anggota," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Beliau berkata, operasi menerusi udara dihentikan pada jam 11 pagi tadi dan akan disambung esok.
"Jika kita lakukan operasi pemadaman (udara) pada sebelah petang, ia kurang efektif.
"Kawasan kebakaran sekarang tidak jauh berbeza iaitu tiga hektar namun ia masih dalam keadaan terkawal. Kebakaran juga merebak ke jaluran lebih panjang ke bawah gunung," katanya.
Jamil berkata, pihak bomba sentiasa membuat pengawalan bagi memastikan api tidak merebak ke kawasan penduduk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!