Darurat: Peluang ahli politik bertenang, muhasabah

Semua ahli politik diingatkan agar menjadikan tempoh darurat ini sebagai tempoh bertenang dan muhasabah peribadi dan parti yang dianggotai mereka.
Semua ahli politik diingatkan agar menjadikan tempoh darurat ini sebagai tempoh bertenang dan muhasabah peribadi dan parti yang dianggotai mereka.
A
A
A

SHAH ALAM - Semua ahli politik diingatkan agar menjadikan tempoh darurat ini sebagai tempoh bertenang dan muhasabah peribadi dan parti yang dianggotai mereka.

Sekretariat Muwasolah Agamawan dan Aktivis Memperkasa Institusi Raja-raja (Mampir) dalam satu kenyataan berkata, ia bagi membolehkan mereka memberikan perkhidmatan yang lebih baik, berintegriti dan berkredibiliti kepada agama, bangsa dan negara pasca darurat nanti.

Selain itu, sekretariat tersebut turut mendoakan agar keputusan ini menjadi keputusan yang terbaik buat semua pihak dalam negara.

"Mampir sebagai suatu wadah menyampaikan suara prihatin isu kenegaraan kalangan agamawan dan aktivis masyarakat turut mengharapkan agar rakyat berdiri menyokong penuh titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang

di-Pertuan Agong supaya pihak pentadbiran sedia ada dapat memberi fokus dan bersikap proaktif melandaikan lekuk positif Covid-19 harian tanpa sebarang gangguan birokrasi atau kerenah politik dan pentadbiran.

"Dalam masa sama, Mampir turut mendoakan agar Jawatankuasa Bebas yang dibentuk benar-benar bebas dari kepentingan politik peribadi atau parti atau kepentingan mana-mana pihak tertentu sama ada di dalam atau di luar negara," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Mampir dalam kenyataan sama mencadangkan agar pakar bidang Perlembagaan dan agamawan dapat membantu membimbing masyarakat supaya tenang dan faham secara realiti terhadap isu kenegaraan yang sedang dilalui dan bersama memberikan komitmen memerangi pandemik.

"Mampir merafak sembah dan menjunjung kasih kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah memperkenankan pengisytiharan Darurat yang selaras dengan peruntukan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

"Pengisytiharan ini juga dititah Seri Paduka Baginda setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja Melayu dan Majlis Keselamatan Negara. Keputusan ini adalah secara kolektif dan berdasarkan prinsip amalan ‘syura’ yang bertujuan mengelak soal kepentingan individu," katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perkenan supaya Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan atau satu tarikh lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

Perkara tersebut dimaklumkan Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan pada Selasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!