Mangsa banjir di Johor berkurangan
JOHOR BAHRU - Mangsa banjir di negeri ini berkurangan kepada 2,943 orang daripada 812 keluarga setakat jam 8 pagi pada Khamis.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, jumlah itu menunjukkan pengurangan berbanding 2,999 orang daripada 830 keluarga setakat 12 tengah malam pada Rabu.
"Sebanyak 30 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di lima daerah melibatkan Johor Bahru, Kota Tinggi, Segamat, Mersing dan Batu Pahat.
"Daerah yang paling ramai menempatkan mangsa banjir di PPS setakat ini adalah di Kota Tinggi berjumlah 2,101 orang daripada 588 keluarga yang ditempatkan di 22 PPS.
"Seterusnya daerah Johor Bahru, seramai 624 orang daripada 205 keluarga ditempatkan di lima PPS, diikuti daerah Kluang seramai 121 orang daripada 27 keluarga ditempatkan di sebuah PPS.
"Bagi daerah Segamat seramai 76 orang daripada 20 keluarga ditempatkan di sebuah PPS, manakala daerah Batu Pahat seramai 12 orang daripada dua keluarga ditempatkan di sebuah PPS," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, Vidyananthan berkata, air pasang terus berlaku di Tanjung Sedeli, Kota Tinggi, Johor Bahru dan Kukup, Pontian pada pagi hingga malam Rabu.
Jelasnya, air pasang berlaku di Tanjung Sedili pada jam 9.43 pagi dengan ketinggian 194 meter (m), Johor Bahru jam 12.44 tengah malam dan 11.52 pagi (325 dan 321m) dan Kukup jam 12.25 tengah malam dan 11.37 pagi (269 dan 367m).
Vidyananthan berkata, hanya satu jalan terjejas iaitu Jalan Kota Tinggi-Kluang di Taman Seri Impian di Kluang berikutan tanah runtuh dan ditutup untuk semua kenderaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!