Cuaca buruk, dua pesawat gagal mendarat di Pontianak
JAKARTA - Dua pesawat komersial dari Garuda Indonesia dan Lion Air dalam perjalanan Jakarta ke Pontianak gagal mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Supadio akibat cuaca buruk sebaliknya selamat mendarat di lapangan terbang lain.
Berita itu disahkan oleh Pengurus Besar PT Angkasa Pura II, Cawangan Lapangan Terbang Antarabangsa Pontianak Supadio, Eri Brawliantoro ke Antara, lapor CNN pada Khamis.
"Memang benar pada Rabu petang, terdapat dua pesawat dialihkan kerana cuaca buruk," kata Eri Brawliantoro di Sungai Raya.
Beliau menjelaskan dua pesawat itu adalah penerbangan GA 504 milik Garuda Indonesia dan penerbangan JT 684 milik Lion Air.
"Alihkan penerbangan dan RTB (Kembali ke Pangkalan) antara perkara biasa dalam dunia penerbangan. Ini kerana kami mengutamakan faktor keselamatan penumpang.
"Akibat cuaca buruk, pesawat Lion Air dialihkan ke Bantam, sementara pesawat Garuda dialihkan ke Palembang," katanya.
Selain dari dua pesawat, satu lagi pesawat milik Sriwijaya Air juga hampir mengalami perkara yang sama tetapi berjaya mendarat di Lapangan Terbang Supadio di Pontianak.
Katanya, terdapat beberapa faktor cuaca boleh berlaku, salah satunya disebabkan angin atau jarak pandang yang berada di bawah standard sehingga boleh mengganggu keselamatan penerbangan.
"Itulah sebabnya setiap operasi penerbangan perlu mengetahui keadaan cuaca yang merujuk kepada sistem informasi meteorologi penerbangan (BMKG).
"Data ini akan diteruskan ke petugas lalu lintas udara (ATC) dan juruterbang, jika cuaca buruk, mereka akan membuat keputusan sama ada kembali ke pangkalan atau mendarat di lapangan terbang lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!