Tiada pihak dilantik urus Program Rekalibrasi PATI: Imigresen
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menegaskan pihaknya tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk menguruskan pendaftaran Program Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, terdapat cubaan oleh agen dan pihak ketiga yang menawarkan perkhidmatan untuk menguruskan pendaftaran Program Rekalibrasi tersebut kepada majikan yang ingin menggaji PATI dan kepada PATI yang ingin pulang ke negara asal dengan mengenakan jumlah bayaran tertentu.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang urusan dengan ejen dan pihak ketiga untuk pendaftaran Program Rekalibrasi," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, pendaftaran program itu boleh dibuat secara terus di laman web https://www.imi.gov.my.
"Jabatan ini akan membuat pengumuman dari masa ke masa berhubung Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung program ini boleh membuat pertanyaan melalui Sistem Pertanyaan Online (SPO) yang boleh dicapai di pautan http://eapp.imi.gov.my/spo," katanya.
Program Rekalibrasi PATI yang merangkumi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan Program Rekalibrasi Pulang bermula pada 16 November lalu sehingga 30 Jun depan.
Pada 12 November lalu, kerajaan melancarkan Program Rekalibrasi PATI yang dilaksanakan oleh Imigresen dengan kerjasama strategik Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) serta agensi-agensi kerajaan yang lain tanpa pembabitan vendor atau pihak ketiga.
Program berkenaan terdiri daripada pendatang asing yang sedia ada digajikan atau masih belum digajikan oleh majikan, tertakluk kepada syarat seperti pemegang Pas Lawatan Sosial (PLS), Pas Lawatan Kerja Sementara (PKLS) dan pembantu rumah asing yang tinggal lebih masa pada atau sebelum 31 Disember 2020.
Program Rekalibrasi Pulang pula merupakan inisiatif kerajaan bertujuan memberi peluang kepada pendatang asing yang melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah untuk pulang ke negara asal secara sukarela.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!